Masakan Melayu Di Kota Mekah




Teks dan gambar RAHANA MD
(Mengikuti Umrah tajaan Muhammadiyah Travel & Tours Sdn Bhd, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan)

BERUNTUNG umat Islam yang berpeluang menunaikan umrah ke kota suci Mekah kerana dapat merasai nikmat beribadat di rumah Allah bersama-sama saudara muslim dari seluruh pelosok dunia.

Ibarat perantau lain, mereka yang beribadat di tanah suci tidak terlepas daripada merindui hidangan Melayu nusantara khususnya jemaah yang datang dari rantau Asia Tenggara.

Merasai enaknya lontong sambal kacang di kota Mekah dengan segelas teh tarik tentu sedikit melegakan.

Diikuti pula sajian nasi berlauk ayam masak merah, kari ikan, sayur kacang, daging dendeng, tempe goreng tepung, sotong masak kicap, keropok belinjau, ulam-ulaman dan sambal belacan.

Semua itu dapat dinikmati apabila melangkah masuk ke Restoran Citarasa yang terletak di tingkat empat, pusat beli-belah Abraj Al Bait, Menara Zam Zam, Mekah.

Menjadi tetamu Allah di Mekah baru-baru ini memberi kesempatan penulis menemui salah seorang pemiliknya, Abdul Basit Abdullah Ismail, yang lahir kota suci itu dan merupakan generasi ke empat Tok Kenali atau Muhammad Yusuf Ahmad (1868 - 1933), seorang tokoh ulama ulung dan pencetus ilmu pengajian Islam di Malaysia dan Asia Tenggara yang berasal dari Kelantan.

Katanya, bersama rakan kongsi, Ibrahim Salleh dari Johor dan Roslan Jaafar dari Singapura mereka membuka Restoran Citarasa pada 2008 .

Restoran bertaraf lima bintang itu menghidangkan menu dan masakan Melayu bercita rasa Nusantara hasil air tangan tiga tukang masak yang dibawa khas dari tiga negara berjiran, Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Restoran itu turut menjadi tumpuan golongan atasan termasuk menteri dan ahli korporat yang menunaikan umrah, selain para jemaah yang ingin bertukar selera kepada hidangan Melayu asli.

Abdul Basit memberitahu, pembukaan restoran tersebut merupakan penghormatan kepada jemaah umrah atau haji dari Nusantara menikmati hidangan Melayu agar serasi dengan selera masing-masing.

“Apabila jemaah beribadat dengan bersolat di Masjidil Haram dan bertawaf, hidangan makanan perlu seimbang dan memenuhi cita rasa mereka.

“Lagi pun lokasi restoran ini yang terletak berhampiran masjid memberi kelebihan dan kemudahan kepada jemaah terutama yang menginap di sini.

“Menu hidangan turut menjadi tumpuan jemaah dari Brunei, Australia dan London kerana kami turut menyajikan makanan Barat,” katanya.

Bangunan Zam Zam yang terletak bersebelahan dengan Masjidil Haram dengan laluan masuk utamanya di sebelah dataran solat (jika dalam masjid dipenuhi jemaah) turut menempatkan hotel penginapan jemaah.

Sementara itu, ruang restoran yang luas dengan dekorasi moden dan berwarna cerah, gandingan merah dan oren menjanjikan keselesaan pengunjung.

Di hadapan pintu masuk restoran, diletakkan hiasan buluh dan atap bertam (simen) bagaikan gerai Melayu lama. Namun hiasan dalamannya mendapat sentuhan moden dengan gantungan lampu bentuk kubah.

Menjenguk ke bahagian dapur yang mengutamakan kebersihan, sempat bertemu salah seorang tukang masak yang berasal dari Bogor, Indonesia, Shamsudin Hanan, 37.

Katanya dia dan dua lagi rakannya sentiasa berbincang untuk memilih menu yang sesuai dengan selera pelbagai jemaah dari Asia Tenggara.

Untuk itu dia mewajibkan setiap hari mempunyai satu atau lebih menu yang popular dari ke tiga-tiga negara terbabit.

“Misalnya rendang menjadi tarikan jemaah Malaysia, sayur asam dan daging dendeng pula diminati jemaah Indonesia dan sesekali ada rojak Singapura di samping pelbagai salad, ulam-ulaman dan sambal,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, Jumaat, 24/9/2010

0 comments