Jangan Fikir Soal Untung Sahaja


OPERATOR pakej umrah dan haji bukan semata-mata melibatkan soal keuntungan. Ini kerana mereka yang menyertai pakej tersebut bertujuan mengerjakan ibadat. Apabila berkaitan ibadat, perkara pokok yang menjadi keutamaan adalah keupayaan syarikat operator pakej memastikan keselesaan beribadat sepanjang di Mekah dan Madinah. Justeru, operator yang terbukti boleh memberi perkhidmatan memuaskan selain menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kursus umrah dan haji sentiasa menjadi pilihan masyarakat.

Antara operator yang semakin mengukuhkan namanya di Malaysia adalah Andalusia Travel & Tours (ATT) Sdn. Bhd. Ia dikendalikan oleh orang berpengalaman iaitu bekas Pengurus Besar Lembaga Tabung Haji iaitu Datuk Md. Daud Che Ngah yang kini Pengerusi Eksekutif ATT.

Kini, umat Islam Malaysia yang berhasrat menunaikan haji perlu menunggu sehingga 10 tahun berikutan sistem kouta yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Justeru, bagi yang berkemampuan, mereka akan memilih menunaikan umrah terlebih dahulu. Selain melepaskan tanggungjawab wajib mengerjakannya, umrah itu juga membolehkan mereka mempelajari dan memahami secara lebih dekat manasik sebelum mengerjakan rukun Islam kelima.

Daud berkata, atas landasan mengerjakan ibadat, pihaknya meletakkan kadar tambang yang berpatutan dan boleh diterima oleh masyarakat.

Sedangkan, menurutnya, umum mengetahui bahawa sewa hotel-hotel sedia ada di Mekah dan Madinah kini bukan murah.

“Alhamdulillah, kita masih mampu mengekalkan kadar tambang umrah sebagai mana sekarang dan jarak hotel kita di Mekah yang paling jauh pun adalah kira-kira 300 meter dari dataran Masjidil Haram,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Konvensyen Tahunan ATT Sdn. Bhd. di sebuah hotel di ibu negara, akhir Januari lalu.

Konvensyen sehari itu disertai oleh kira-kira 300 agen dan ketua rombongan ATT dari seluruh negara.

Ia dirasmikan oleh Presiden Persatuan Syarikat Pengembaraan dan Perlancongan Malaysia (Bumitra), Mohd. Ayub Hassan.

Sebanyak empat kertas kerja dibentangkan iaitu Taklimat Perlesenan oleh Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Perlesenan Kementerian Pelancongan Malaysia, Sabri Zakaria; Kemahiran Pengurusan Tour Manager oleh perunding HR & Tourism Training Management, Jaiyah Shahbudin; Ke Arah Penjualan dan Pemasaran Pakej Umrah dan Pelancongan oleh bekas Pengurus Pemasaran Bank, Abu Yazid Harun dan Persediaan Ke Arah Kejayaan Operasi oleh Nik Ahmad Faris.

Pada majlis itu, ATT turut menghadiahkan tiket percuma mengerjakan umrah untuk suami isteri kepada agen mereka iaitu Zulkifli Mohamad Kasim. Beliau ditemani isteri, Tariza Abu.

Anugerah itu diberikan sebagai penghargaan atas dedikasi dan semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh beliau semasa bertugas sebagai Ketua Rombongan umrah tahun lalu.

Kata Daud, Zulkifli diserang angin ahmar semasa membawa rombongan ziarah dan umrah ke Bahrain.

“Walaupun demikian, beliau tetap melaksanakan tugasnya dengan baik sehinggalah selesai membawa jemaah ke Madinah dan Mekah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Daud berkata, sebagai nilai tambah kepada para pelanggan, pihaknya turut menyediakan kursus umrah di ibu pejabatnya di Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada setiap Sabtu dan Ahad.

Katanya, ATT juga berhasrat mengadakan kursus yang sama di pejabat cawangan di Utara dan Pantai Timur negara.

“Selain itu, kami turut mengeluarkan alat bantuan belajar kepada bakal jemaah antaranya MP3 Elektronik doa haji dan umrah.

“Ini bagi membantu mereka menghafal doa-doa dan memudahkan pemahaman melaksanakan ibadat umrah walaupun kita tidak dapat memberi kursus kepada mereka,” jelasnya.

Daud bersyukur atas keberkatan yang diterima walaupun kadar yuran yang dikenakan oleh pihaknya adalah berpatutan dan rendah berbanding operator yang lain.

“Bukan itu sahaja, buku-buku dan cakera padat video (VCD) yang kami keluarkan juga tidak dijual mahal.

“Contohnya buku Kursus Kesempurnaan Ibadat Haji dan Umrah yang saya tulis hanya dijual pada harga RM20,” tambahnya.

Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 8/2/2011.

0 comments