Soalan 12

Adab Berkunjung Ke Masjidil Haram


KETIKA ini saya bekerja di Jeddah. Saya berhajat untuk pergi ke Masjidil Haram bagi menunaikan solat fardu dan berdoa. Adakah syarat tertentu yang perlu saya lakukan semasa berada di Masjidil Haram ketika tiba atau untuk meninggalkan Masjidil Haram?

Saya tidak bersedia lagi untuk melakukan umrah kerana belum mempunyai pengetahuan dan ilmu.

ABD HAMID, Kuala Lumpur.

Jawapan:

TERDAPAT tiga masjid yang begitu istimewa dalam Islam, iaitu Masjid al-Haram di Makkah, Masjid al-Nabawi di Madinah dan Masjid al-Aqsa di Palestin. Kita amat digalakkan untuk mengunjungi ketiga-tiga masjid tersebut kerana banyak kelebihannya (Sabiq, 2000: I: 522).

Dalam sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak sepatutnya (bersusah payah) untuk keluar mengembara kecuali (mengunjungi) ketiga-tiga buah masjid iaitu: Masjid al-Haram, masjidku (Masjid al-Nabawi di Madinah) dan Masjid al Aqsa.” (Bukhari, Muslim dan Abu Dawud).

Seterusnya ada hadis lain menerangkan kelebihan ketiga-tiga masjid tersebut di antaranya, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Melakukan sekali sembahyang di dalam masjidku (Masjid al- Nabawi di Madinah) ini adalah lebih baik daripada 1,000 kali sembahyang dalam masjid yang lain melainkan Masjidil Haram. Dan satu sembahyang di Masjidil Haram pula lebih afdal daripada 100,000 sembahyang di masjid-masjid yang lain.” (Ahmad).

Begitu juga terdapat hadis tentang kelebihan Masjid al-Aqsa, iaitu: “Sesungguhnya kelebihan sembahyang di masjid Baitul Maqdis (Masjid al-Aqsa) itu lebih afdal dalam masjid lain kecuali Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi di Madinah dengan 500 sembahyang (yang dikerjakan di masjid-masjid yang lain).”

Saudara boleh mengunjungi Masjid al-Haram untuk bersolat dan berdoa kerana banyak kelebihan beribadat di sana berbanding dengan tempat yang lain.

Tiada syarat tertentu yang perlu dilakukan ketika di sana kecuali apabila menunaikan umrah atau haji yang mempunyai syarat dan rukun tertentu.

Bagaimanapun, saya mengesyorkan anda untuk mengerjakan ibadah umrah apabila berada di Makkah. Melakukan umrah dan haji adalah wajib ke atas orang yang berkuasa mengerjakannya sekali seumur hidup.

Sumber: Harian Metro. Sabtu. 12/2/2011.