Agong Terima Menghadap Najib, Rosmah Sebelum Ke Tanah Suci


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah di Istana Negara, bagi mengucapkan selamat berangkat menunaikan fardu haji.

Seri Paduka berdua dijadual berlepas ke Tanah Suci pada 10 pagi tadi. Pegawai Perhubungan Awam Istana Negara, Muhd Khairi Abd Rahman, berkata Seri Paduka berdua dijadual tiba di Madinah pada 3 petang (8 malam waktu Malaysia), hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan mengiringi Seri Paduka berdua sepanjang berada di Tanah Suci.

Pasangan Diraja itu dijadual berangkat bertemu jemaah haji Malaysia pada 9.30 pagi di ibu pejabat Tabung Haji di Makkah, Isnin ini, kata Muhd Khairi.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah dijadual pulang ke tanah air pada 31 Okt.

Turut mengiringi Seri Paduka berdua menunaikan haji ialah anakanda, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz dan Datuk Seri Tunku Soraya, Datuk Seri Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan Toh Puan Temenggong Kedah Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff.

- BERNAMA

0 comments