Visa Umrah Tidak Dikurangkan


MAKKAH: Menteri Haji Arab Saudi, Encik Bandar Al-Hajjar, berkata pihaknya mengeluarkan 160,000 visa umrah sejak permulaan musim kali ini.

Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 40,000 jemaah sudah tiba di negara itu untuk menunaikan ibadah masing-masing.

Pada masa yang sama, Kementerian Haji menafikan kewujudan sebarang arahan mengurangkan jumlah jemaah umrah tahun ini ekoran projek pelebaran kawasan tawaf.

Menurut beliau, kementeriannya akan menggunakan segala sumber yang ada bagi menyediakan perkhidmatan kepada jemaah umrah.

“Jumlah kedatangan jemaah umrah setiap bulan dianggarkan 400,000 orang,” katanya.

Angka itu dijangka meningkat dua kali ganda ketika bulan Ramadan, menjadikan jumlah keseluruhan jemaah umrah tahun ini menjadi 5.5 juta orang.

Encik Bandar berkata Jawatankuasa Pemantau Umrah Kementerian Haji, mula beroperasi melalui pelbagai pusat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Sementara itu, ketua polis Makkah, Encik Ibrahim Mohammad Hamzi, berkata persediaan mengendalikan musim umrah tahun ini telah dimulakan awal.

Menurut beliau, semua aspek diambil kira, termasuk projek pelebaran kawasan tawaf dan bangunan di sekitar Masjidil Haram.

“Perhatian diberikan supaya para pengunjung boleh melakukan ibadah mereka dengan selamat,” katanya.



0 comments