MAS Perkukuh Kedudukan Di Peringkat Global


Penerbangan Malaysia (MAS) akan menawarkan perkhidmatan dan manfaat penuh pakatan syarikat penerbangan terbaik, oneworld® kepada pelanggannya mulai bulan depan.

MAS yang menjadi ahli kedua di dalam pakatan yang beroperasi menggunakan pesawat Airbus A380 selepas Qantas akan menyelaraskan produk jualan dan kadar tambang penuhnya dengan oneworld menerusi rangkaian perkhidmatan ke lebih 60 destinasi di hampir 30 negara yang ditawarkannya.

Ia sekali gus akan membantu MAS mengukuhkan lagi kedudukan pakatan tersebut di Asia Tenggara menerusi 14 destinasi dan termasuk Bandar Seri Begawan di Brunei selain meningkatkan lagi perhubungan di antara kebanyakan bandar utama di Asia serta beberapa lokasi lain di dunia.

Pelanggan MAS khususnya ahli Enrich akan memperolehi manfaat menerusi peningkatan ganjaran dan menikmati pilihan penerbangan yang lebih terjamin.

Antara ganjarannya ialah akses kepada lounge lapangan terbang global yang membabitkan ahli Enrich Platinum dan Gold yang boleh menggunakan mana-mana 550 lounge lapangan terbang di seluruh dunia yang ditawarkan ahli oneworld.

Di dalam masa yang sama, dengan oneworld, ahli Enrich juga mempunyai banyak pilihan untuk memperolehi dan menebus mata ganjaran penerbangan. Kira-kira 125 juta ahli yang berdaftar menerusi program frequent flyer oneworld akan memperolehi dan boleh menebus mata ganjaran secara berperingkat termasuk menerima manfaat oneworld melalui MAS.

Selain itu, penumpang Kelas Pertama dan Perniagaan MAS juga boleh menggunakan lounge rakan penerbangan, oneworld. Semua manfaat itu akan dinikmati penumpang MAS selepas syarikat penerbangan negara menjadi ahli ke-12 di dalam pakatan syarikat penerbangan, oneworld bermula 1 Februari.

Selepas menjadi ahli pakatan, pelanggan MAS boleh menikmati pelbagai perkhidmatan rangkaian global yang ditawarkan oleh rakan niaganya yang terdiri daripada syarikat penerbangan terbaik dan terbesar di dunia.

Selain MAS, 11 lagi syarikat penerbangan di dalam pakatan oneworld adalah American Airlines, British Airways, Cathay Pacific, Finnair, Iberia, Japan Airlines, LAN, Qantas, Royal Jordanian dan S7 Airlines.

0 comments