Tabung Haji Tambah Hartanah Di London



Cadang Beli Bangunan 151 Buckingham Palace Road Bernilai RM984j

LEMBAGA Tabung Haji (Tabung Haji) berhasrat terus mengukuhkan pelaburan pasaran hartanah luar negara apabila ia bercadang membeli bangunan keduanya di London pada harga £205 juta (kira-kira RM984 juta).

Pengurus dana simpanan jemaah haji itu kali ini mengemuka tawaran untuk membeli sebuah bangunan pejabat yang dikenali sebagai 151 Buckingham Palace Road, SW1 di tengah London.

Sumber industri berkata, dalam membuat tawaran itu, Tabung Haji juga bersaing dengan beberapa pengurus dana terkemuka global termasuk dengan dua pengurus dana pencen tempatan iaitu Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bangunan Mewah

Namun begitu, sumber berkata, Tabung Haji pada dasarnya sudah bersetuju untuk membeli bangunan mewah daripada syarikat hartanah terkemuka global, Ivanhoé Cambridge.

“Jika ia dapat dimuktamadkan, maka ini adalah urus niaga pembelian hartanah kedua Tabung Haji di London. Bangunan pejabat yang mempunyai keluasan 193,693 kaki persegi itu menawarkan pulangan tahunan yang lumayan iaitu di bawah tujuh peratus,” katanya kepada BH semalam.

“Pulangan tahunan yang lumayan itu menarik minat Tabung Haji untuk membeli bangunan berkenaan,” jelasnya.

Sumber itu menjelaskan bangunan enam tingkat 151 Buckingham Palace Road itu dibangunkan oleh Greycoat Plc dan reka bentuknya pula direka oleh Arup Associates.

Beliau berkata, bangunan itu terletak di lokasi yang strategik iaitu berhampiran Victoria Station, iaitu hab pengangkutan paling sibuk di Central London.

“Tabung Haji kini giat meninjau peluang untuk meningkatkan pelaburannya dalam sektor hartanah kerana dikenal pasti sebagai langkah terbaik untuk memperoleh pulangan tinggi bagi membolehkannya memberi pulangan yang baik kepada 8.2 juta pendepositnya,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismee Ismail berkata, Tabung Haji akan terus mempergiatkan pelaburannya dalam sektor hartanah yang mampu menawarkan pulangan sehingga enam peratus.

Beliau berkata pihaknya memperuntukkan kira-kira 13 peratus daripada RM38.4 bilion dana miliknya untuk pelaburan dalam sektor hartanah di dalam dan di luar negara.

Pendapatan Berulang

Katanya, langkah Tabung Haji meningkatkan pelaburan dalam sektor hartanah itu juga turut dipengaruhi oleh faktor untuk mendapatkan pendapatan berulang dalam bentuk sewaan.

Antara pembabitan terbaru Tabung Haji dalam pelaburan hartanah ialah pembinaan Kompleks Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Alor Setar, manakala pelaburan di luar negara pula ialah pembelian hartanah komersial di London tahun lalu.

Pada tahun lalu, Tabung Haji membeli sebuah bangunan pejabat premium di 10 Queen Street Place, London daripada pemiliknya Jaguar Capital pada £165 juta (RM792 juta).

0 comments