Tambang Haji Tahun Ini Hanya RM9,980 (Tahun Depan Belum Tahu Lagi)



Tabung Haji Sedia Tampung Subsidi Jika Ada Kenaikan

Kuantan: Tambang untuk menunaikan haji tahun ini kekal RM9,980 seorang bagi jemaah kali pertama. Kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) memutuskan mengekalkan tambangnya walaupun kos mengendalikan ibadat itu terus meningkat bagi membolehkan semua jemaah terpilih dapat melaksanakan ibadat berkenaan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata tahun lalu, Tabung Haji membelanjakan RM150 juta bagi menampung subsidi kira-kira 28,000 jemaah.

Kos Dijangka Meningkat

“Jumlah itu dijangka meningkat musim ini berikutan kenaikan kos penginapan, makanan dan pengangkutan.

“Bagaimanapun, semua kenaikan itu tidak akan memberi kesan kepada jemaah kerana Tabung Haji sedia menampung subsidi berkenaan,” katanya selepas merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke-29 Musim Haji 1434 Hijrah di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ismee Ismail.
“Jika mengambil kira kos dikenakan, jemaah kita dikira paling bertuah kerana bukan saja membayar kos paling rendah, tapi turut menikmati kemudahan terbaik berbanding jemaah negara lain.

“Jemaah di Singapura misalnya perlu membayar S$13,000 (RM32,537), Brunei 9,000 dolar (RM22,526), Thailand 160,000 baht (RM16,699) dan Turki pula antara AS$5,000 hingga AS$10,000 (RM15,525 hingga RM31,050),” katanya.

Dapat Pengiktirafan

Sementara itu, Jamil Khir berkata, tadbir urus Tabung Haji mendapat pengiktirafan banyak negara Islam dan ada antaranya menyatakan keinginan untuk mempelajarinya.

Katanya, perbincangan mengenainya masih berjalan dan perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat membabitkan menteri berkaitan urusan haji di Arab Saudi, April ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Tabung Haji akan mengumumkan bonus dan dividen yang bakal diperoleh pendeposit, Khamis ini.

0 comments