50 Syarikat Dikompaun Tipu Umrah

KUALA LUMPUR | Sebanyak 50 syarikat tidak berlesen dikenakan kompaun berjumlah RM207,000 oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan ke­rana didapati melakukan kesalahan penipuan pakej umrah.

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, jumlah itu meliputi kes-kes yang direkodkan di bawah Akta Industri Pelancongan (AIP) 1992 sejak 2012 sehingga Mac tahun ini.

“Sebagai contoh pada 2014, sebanyak 16 syarikat dikenakan kompaun berjumlah RM75,500 manakala setakat Mac tahun ini, terdapat empat syarikat didapati bersalah menipu orang ramai berhubung pakej umrah dan dikompaun seba­nyak RM35,000.

“Selain dikenakan kompaun, kementerian juga membatalkan lesen tiga syarikat kerana melakukan kesalahan di bawah akta yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Kesedaran Penipuan Pakej Umrah dan Hak Kepenggunaan Kepada Penjawat Awam 2015 Peringkat Kuala Lumpur dan Putrajaya, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) kementerian tersebut, Datuk Rashidi Hasubullah dan Setiausaha Bahagian Pelesenan Pelancongan, Nor Yahati Awang.

Selain penjawat awam, kempen kesedaran itu turut menyasarkan kumpulan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pengerusi masjid atau surau di beberapa kawasan di seluruh negara.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati menyatakan kempen yang memasuki siri keenam itu diadakan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat di semua peringkat mengenai sindiket penipuan pakej umrah yang semakin berleluasa.

Katanya, antara isu pengendalian pakej umrah yang sering dibangkitkan ialah kegagalan mendapatkan kelulusan visa, kes penipuan pakej umrah oleh syarikat tidak berlesen, jemaah umrah terkandas dan operasi umrah tidak mengikut terma serta syarat yang ditetapkan.

“Kementerian dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) mengambil inisiatif menganjurkan kempen ini bagi mendidik masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan pakej-pakej umrah yang ditawarkan oleh syarikat tidak berlesen.

“Sebelum membuat tempahan, pastikan kesahihan kewujudan sesebuah syarikat atau agensi pelancongan itu dengan memeriksa lesen perniagaan mereka di laman web kementerian,” ujarnya.

Sumber: Utusan

0 comments