Kos Umrah Naik Sehingga 30 Peratus

KUALA LUMPUR | Para jemaah negara ini yang hendak mengerjakan ibadat umrah pada musim baharu bermula 19 November ini akan menanggung kenaikan kos sehingga 30 peratus.

Presiden Persatuan Agensi-agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Datuk Syed Mohd. Razif Al Yahya berkata, kenaikan tersebut tidak dapat dielakkan ekoran kejatuhan nilai mata wang negara untuk tukaran riyal.

“Dijangka kesemua pakej-pakej umrah akan mengalami kenaikan sebanyak RM500 sehingga RM600. Namun itu tidak mengurangkan sebarang tawaran kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pakej-pakej tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Pertemuan dan Makan Tengah Hari ahli-ahli Bumitra anjuran Hotel Shaza Al Madinah, Arab Saudi di sebuah hotel di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Hotel Shaza Al Madinah, Brahim Robio dan Pengarah Jualan Kawasan dan Strategi Perniagaan Kumpulan Hotel Shaza, Shaji Abu Salih.

Syed Mohd. Razif berkata, pakej umrah yang biasanya berharga RM5,600 misalnya akan mengalami kenaikan sehingga RM6,000 dengan pakej yang paling minimum RM4,990.

“Kenaikan kos ini berlaku hanya ketika nilai mata wang kita rendah, sehinggalah ringgit kembali stabil, harga-harga pakej dijangka akan kembali kepada yang asal,” katanya.

Menurutnya, bermula pada musim umrah ini juga, semua perkara berkaitan ibadat tersebut akan dipantau oleh Majlis Kawal Selia Umrah yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelancongan baru-baru ini.

“Terdapat 13 agensi kerajaan di dalamnya termasuklah Wisma Putra, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dan Bumitra.

“Kesemua aduan terutama yang melibatkan sebarang penipuan dalam mengendalikan umrah akan ditangani oleh majlis ini bagi membolehkan mereka yang tidak bertanggungjawab dikenakan tindakan dan hukuman,” katanya.

Sebelum ini kata Syed Mohd. Razif Al Yahya, terdapat banyak kelompangan dalam mengendalikan kes-kes penipuan yang menyebabkan dalangnya berpeluang melepaskan diri.

“Ini termasuklah kita tidak dapat mengambil tindakan apabila ejen umrah atau agensi pelancongan yang melakukan penipuan tersebut tidak berdaftar, tidak mempunyai permit dan berlesen.

“Jadi dengan adanya Majlis ini, kita akan mengambil tindakan secara integrasi terhadap sebarang kes-kes penipuan yang diadukan oleh para jemaah,” katanya.

Sementara itu Brahim berkata, Hotel Shaza Al Madinah yang terletak hanya beberapa meter daripada Masjid Nabawi tidak akan dirobohkan dan masih akan meneruskan operasi sebagai hotel penginapan yang terbaik untuk para jemaah haji dan umrah.

“Dahulu, kerja-kerja pembesaran Masjid Nabawi turut melibatkan tapak hotel yang menyebabkan hotel ini perlu dirobohkan.

“Bagaimanapun, kerajaan Arab Saudi akhirnya membenarkan kami untuk terus beroperasi, sehingga untuk tempoh lima atau 10 tahun lagi,” katanya.

Sumber: Utusan

0 comments