Peluang Pesakit Kronik Tunai Haji, Umrah


Penghidap penyakit kronik seperti angin ahmar, buah pinggang dan sebagainya kini berpeluang mengerjakan ibadah haji dan umrah menerusi khidmat program penjagaan jemaah yang diperkenalkan oleh dua syarikat bumiputera, Ihsan Services Sdn. Bhd. (Ihsan Services), dan Marissa Health and Beauty Sdn. Bhd. (Marissa Health and Beauty).

Ketua Pegawai Eksekutif Ihsan Services, Datuk Abdul Rahim Abdullah berkata, perkhidmatan tersebut telah dimulakan sejak awal tahun ini bagi merealisasikan impian pesakit kronik yang ingin mengerjakan ibadah berkenaan.

“Ramai antara kita tidak dapat mengerjakan ibadah haji atau umrah atas faktor kesihatan terutama penyakit kronik. Atas dasar itu, kami bersama-sama Marissa Health and Beauty mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada golongan tersebut.

“Pesakit yang ingin mendapatkan khidmat ini boleh mengunjungi mana-mana cawangan Marissa Health and Beauty bagi menjalani pemeriksaan kesihatan, penerangan dan suntikan sebelum ke Tanah Suci. Khidmat ini ditawarkan secara menyeluruh sehingga pesakit selesai mengerjakan ibadah,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahim, kedua-dua syarikat bumiputera yang bernaung di bawah Koperasi usahawan Haji Umrah Selangor Berhad (KOP al-Haj) itu akan mengadakan program haji dan umrah, Festival Pelancongan Islam Putrajaya - Road2Haramain 2015 pada 28 hingga 30 Ogos ini.

KOP al-Haj mengeluarkan produk untuk kegunaan umat Islam termasuk kelengkapan pengurusan jenazah.

“Festival selama tiga hari ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan menyasarkan kehadiran seramai lebih 3,000 pengunjung.

“Tarikan utama dalam festival kali ketiga ini adalah pengenalan kepada simulator tawaf yang pertama di dunia. Pengunjung tanpa mengira agama, bangsa dan negara boleh menggunakan simulator ini serta merasai sendiri bagaimana ibadah ini dikerjakan,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Marissa Health and Beauty, Dr. Rushmini Maris Ismail berkata, pesakit kronik yang berminat menyertai khidmat program penjagaan jemaah boleh terus ke mana-mana cawangan klinik syarikat berkenaan.

“Kami menyediakan khidmat penjagaan kesihatan dengan doktor di sini akan berhubung dengan rakan sejawat di Arab Saudi bagi memastikan pesakit mendapat bekalan ubat-ubatan dan penjagaan yang betul sepanjang mengerjakan ibadah,” katanya.

Sumber: Utusan

0 comments