Wajib Lesen Khas Umrah

MELAKA | Bermula 3 Oktober tahun hadapan, semua syarikat serta agensi pelancongan yang berminat menawarkan pakej umrah perlu mempunyai lesen khas umrah.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah berkata, langkah tersebut adalah bagi membanteras kes-kes penipuan termasuk masalah penginapan, pengangkutan dan visa.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat 61 syarikat dan agensi pelancongan berdaftar di negara ini yang boleh mengeluarkan visa kepada subejen.

“Setakat ini kita keluarkan lesen ‘inbound’, ‘outbound’ dan 'ticketing'. Sekarang ini semua pakej umrah menggunakan lesen 'outbound', jadi kita dalam proses mewujudkan lesen umrah sahaja.

“Di negara ini, terdapat 61 syarikat yang membuat umrah dan diberikan lesen ‘outbound’, bagaimanapun daripada rekod, kita melihat terdapat 500 syarikat yang membuat pakej umrah mendapatkan visa daripada 61 syarikat tersebut.

“Mereka seperti subejen, mungkin ini sebabnya banyak berlaku kes penipuan atau tidak melaksanakan pakej kerana tidak mendapat visa. Hanya 61 syarikat ini sahaja yang boleh keluarkan visa, jadi kita akan bendung perkara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas perasmian Kempen Keseda­ran Mengenai Penipuan Pakej Umrah dan Ziarah serta Hak Kepenggunaan Kepada Orang Awam 2015 di Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang hadir sama merasmikan kempen tersebut ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelanco­ngan, Pembangunan Pantai, Su­ngai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad.

Selain itu turut hadir Setiausaha Bahagian Pelesenan Pelancongan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Nor Yahati Awang.

Kata Rashidi, sebelum tempoh tersebut, kementerian akan memastikan terdapat perjanjian persefahaman (MoU) antara syarikat subejen dengan syarikat yang mempunyai lesen ‘outbound’ sebelum membuka tawaran pakej umrah kepada orang ramai bagi mengelakkan kes penipuan.

Beliau berkata, terdapat 134 laporan telah dibuat kepada pihak polis antara tahun 2012 hingga September tahun lalu melibatkan nilai kompaun dan denda RM4.8 juta.

Katanya, kementerian turut mencatatkan sebanyak 56 kes membabitkan agensi pelancongan yang menganjurkan pakej umrah antara tahun 2012 hingga Ogos lalu melibatkan nilai denda dan kompaun sebanyak RM222,000.

Dalam pada itu, kata Rashidi, sumber yang diperoleh daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mencatatkan, sebanyak 2,761 kes penipuan telah difailkan sejak tahun 2012 hingga Ogos lalu.

Kesemua kes yang difailkan melibatkan jumlah denda dan kompaun sebanyak RM15.75 juta. Jelasnya, harga minimum yang telah dikaji oleh kementerian untuk satu pakej umrah 12 hari 10 malam ialah RM4,900.

Sumber: Utusan

0 comments