23 Kes Tipu Umrah Melalui Internet

KUALA LUMPUR | Sebanyak 23 kes penipuan pembelian pakej umrah melalui internet direkodkan sejak Februari lepas sehingga kini, kata Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata mangsa penipuan bukan sahaja melibatkan golongan profesional, tetapi juga penduduk di luar bandar yang terpedaya ditawarkan harga pakej umrah yang rendah.

“Mereka yang tidak bertanggungjawab ini mengeksploitasi bakal jemaah umrah melalui iklan yang menawarkan harga lebih rendah daripada harga lantai iaitu RM4,900,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas program bersama penggiat industri pelancongan (pengendali umrah) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Beliau berkata lapan daripada kes itu dilaporkan kepada polis melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM101,480.

Manakala selebihnya dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan nilainya belum dapat dipastikan.

Mas Ermieyati menasihatkan orang ramai supaya memeriksa latar belakang syarikat pengendali umrah dengan melayari laman web www.motac.gov.my atau www.jawhar.gov.my/umrah untuk menyemak status syarikat serta senarai syarikat yang telah disenarai hitam.

Katanya terdapat kira-kira 500 syarikat pengendali umrah yang berdaftar. Dalam pada itu beliau berkata seramai 290,000 rakyat Malaysia dijangka menunaikan umrah pada tahun ini.

Sumber: Mynewshub

0 comments