Amanah Desak Siasat Umrah KJ


Kenyataan Media

TAJAAN KERJAKAN UMRAH OLEH KJ PERLU DISIASAT

Berita yang tersebar bahawa Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, YB Khairy Jamaludin yang beliau menaja 191 ketua pemuda UMNO bahagian berjumlah RM 1.4 juta perlulah disiasat oleh pihak berkuasa terutama SPRM berkenaan sumber wang sebanyak itu.

Jika dikira gaji seorang menteri sudah pasti tidak cukup untuk menampung penajaan sebegitu banyak. Adakah jumlah tersebut juga sama sepertimana skandal derma yang menyelebungi Presiden UMNO Datuk Sri Najib Razak? Jika ya, maka ia perlu disiasat sama ada ia didermakan dengan sebarang balasan. Adakah wang tersebut datang dari mana-mana korporat? Jika ya, maka ia perlu disiasat sama ada korporat tersebut mempunyai apa-apa kepentingan dengan jawatan Menteri KJ.

Apakah tujuan KJ menaja ketua pemuda bahagian seluruh negara? Adakah kedudukan beliau sebagai Ketua Pemuda sedang tergugat atau adakah beliau sedang mencongak kerusi yang lebih tinggi dalam UMNO? Walau apapun, tajaan ini jika betul sudah pasti mempunyai tujuan tertentu bagi kepentingan politik beliau.

Bapa borek anak rintik. Pemimpin UMNO dan kerajaan hari ini tidak lagi mementingkan integriti dan ketelusan. Masalah keperitan hidup rakyat tidak lagi dipedulikan. Jumlah tersebut cukup untuk membantu mahasiswa membayar yuran pengajian di universiti dan kolej tempatan.

Justeru, satu siasatan bebas dan menyeluruh perlu dijalankan segera supaya anak muda negara ini sentiasa dididik dengan prinsip kehidupan yang baik dan jujur. Jati diri anak muda perlu dibina dengan sifat yang mulia dan bermoral.

Anak muda tidak mahu dipimpin oleh pemimpin yang tidak berintegriti dan tidak peduli akan keperitan rakyat. Berita tajaan ini jika tidak dibersihkan pasti amat menjengkelkan bagi anak muda negara ini.

FAIZ FADZIL
Timbalan Ketua
Pemuda AMANAH Nasional
6 Mac 2016

0 comments