Simpanan Tak Cukup Bayar Gaji Tertunggak Eaglexpress

Syarikat penerbangan Eaglexpress Air Charter Sdn. Bhd. (Eaglexpress) menjelaskan bahawa isu ‘sebahagian bayaran kepada sebahagian pekerja’ berpunca daripada sumber kewangan yang terhad.

Menurut jurucakap Eaglexpress kepada mStar Online, syarikat itu mengalami masalah kewangan selama beberapa bulan sejak Februari sehingga memaksa hanya sebahagian bayaran yang boleh dibuat menggunakan baki simpanan.

“Kita bayar guna simpanan yang ada, tetapi tidak banyak untuk kami dapat bayar semua gaji dan elaun kepada semua pekerja.

“Apa yang kami lakukan adalah memberikan sejumlah bayaran kepada mereka yang membuat permintaan berdasarkan keperluan mereka,” katanya kepada mStar Online.

Sehubungan itu jurucakap berkenaan menafikan dakwaan syarikat itu tidak bertanggungjawab kerana walaupun mengalami masalah kewangan, sejumlah kakitangan masih mendapat sebahagian bayaran.

Beliau mengakui gaji pokok selama dua bulan termasuk beberapa elaun lain tertunggak akibat masalah berkenaan.

Bagaimanapun dakwanya, terdapat segelintir pekerja terutama yang ‘senior’ sedia menunggu bayaran penuh dibuat kerana masih boleh bertahan sehingga kini.

“Jadi, kami memberi keutamaan kepada pekerja yang benar-benar memerlukan, yang membuat permintaan kepada kami seperti nak bayar bil hospital, pinjaman perumahan.

“Jumlah tertentu dibayar atas faktor keperluan mereka selain sumber kami yang terhad,” katanya.

Ditanya mengapa tiada pengumuman rasmi kepada semua pekerja berhubung masalah gaji, jurucakap itu berkata, ia disebabkan syarikat tersebut awalnya menjangka memperoleh sijil Audit Keselamatan Operasi IATA (IOSA) Februari lalu.

“Kita tak jangka isu IOSA berlarutan sehingga beberapa bulan dan hanya mendapatnya tiga minggu lalu.

“Tetapi pihak pengurusan ada meminta setiap bahagian membuat pengumuman mengenai isu gaji kepada kakitangan masing-masing,” katanya sambil merujuk IOSA sebagai salah satu peraturan untuk membolehkan Eaglexpress beroperasi di Arab Saudi di bawah Saudi Arabian Airlines.

Eaglexpress merupakan syarikat penerbangan carter berpangkalan di Kuala Lumpur bagi perkhidmatan jemaah umrah dan haji sejak 2012.

Antara penerbangannya ke Arab Saudi adalah dari Malaysia, Indonesia, Afrika Utara dan Timur Tengah.

Pada Selasa, mStar Online melaporkan Eaglexpress memberi jaminan untuk melunaskan tunggakan gaji kira-kira 300 pekerjanya seawal-awalnya minggu depan, sebelum Aidilfitri.

Berita itu disambut baik oleh para pekerja yang selepas beberapa bulan menanti terutama dengan musim perayaan yang bakal tiba.

“Kami akan tunggu syarikat melunaskan segala gaji dan elaun tertunggak sebelum Aidilfitri. Ini termasuk gaji bulan Jun selain April dan Mei yang tertunggak.

“Kami berharap ia sebagai satu jaminan yang akan ditepati dan bukannya sekadar memberi harapan palsu,” ujar mereka yang terdiri daripada juruterbang dan kru kabin.

Terdahulu, pada Isnin, mStar Online mendedahkan sebuah syarikat penerbangan carter gagal membayar gaji pekerjanya.

Isu gaji pekerja Eaglexpress didedahkan susulan syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara, Rayani Air sebelum ini yang turut tidak melunaskan tunggakan gaji kira-kira 400 kakitangannya mencecah jutaan ringgit, selain bermasalah dari segi operasi.

Bagaimanapun, Rayani Air yang digantung operasi selama tiga bulan sejak 11 April lalu telah dibatalkan Sijil Pengendali Udara (AOC) oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) serta pembatalan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada minggu lalu.

Sumber | Mynewshub

0 comments