Penempatan Orang Patani Di Pinggir Makkah

MAKKAH | Jangan terkejut jika anda menemui agak ramai penduduk tempatan di sini boleh bercakap dialek Kelantan. Rupa-rupanya terdapat beberapa penempatan yang didiami orang Melayu yang berasal dari Patani, Thailand. Antaranya kawasan penempatan berbukit tidak jauh dari Hotel Land Premium dan kubur Mala'. Mereka termasuk Abdullah Ismail berasal dari Patani, berhijrah ke sini sejak 14 tahun lepas.

Katanya ketika awal datang ke sini beliau bekerja dengan orang Arab bagi menampung kehidupan keluarga. Bagaimanapun beliau sekarang mengusahakan perniagaan sendiri. Beliau turut mengambil upah badal haji dengan mengenakan bayaran sebanyak SR1,300 dan korban kambing sebanyak SR350 seekor sempena Aidiladha.

"Saya lakukan sendiri ibadat korban di Mina. Jemaah yang menyertai korban boleh melihat sembelihan yang dilakukan," katanya di sini.

Berpuluh tahun lepas ramai ulama dari Kelantan dan Patani berhijrah ke Makkah untuk mendalami ilmu agama. Antaranya Tok Kenali yang lebih 10 tahun menuntut ilmu agama di Makkah termasuk berguru ulama terkenal Patani, Sheikh Daud Patani.

Seorang pelajar berasal dari Tanah Merah Kelantan pula memberitahu beliau dan empat lagi rakan menuntut secara talaqi di sini. Beliau datang ke Makkah pada 2004 tinggal bersama rakan di sebuah penempatan.

"Pada musim haji saya berkhidmat dengan badan yang mengurus haji termasuk Tabung Haji.

"Saya juga berkhidmat sambilan dengan sebuah travel umrah milik seorang Datuk dari Kelantan," katanya.

Seorang lagi rakyat Thailand yang sudah lama bermastautin di sini memberitahu ramai orang Patani sudah mampu membeli rumah sendiri di Makkah. Selain orang Patani, penduduk yang berasal dari Indonesia juga ramai tinggal di Makkah dan Madinah. Ramai juga dalam kalangan mereka berkhidmat sebagai pemandu bas dan petugas kebersihan di Masjidilharam. 

Sumber: Harakahdaily

0 comments