Visa Sukar Dapat Travel Rugi

KUALA LUMPUR | Proses mengeluarkan visa untuk umrah yang sukar diperolehi menyebabkan ramai agen pelancongan menghadapi kerugian, demikian menurut Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Katanya, ramai agen pelancongan dan jemaah umrah bimbang kerana proses mendapatkan visa di saat-saat akhir iaitu sehari sebelum rombongan berlepas.

"Proses nak dapatkan visa umrah sukar, visa umrah dapat sehari sebelum bertolak menyebabkan agen gagal hadapi kes-kes seperti ini yang telah menempah tiket dan hotel.

"Adakah pihak kerajaan melihat isu ini yang menjadi punca kes penipuan yang tidak disengajakan?" katanya ketika mengajukan soalan tambahan di Parlimen hari ini.

Tambahnya, kerajaan perlu mencari kaedah yang lebih baik dengan mengadakan perbincangan bersama Arab Saudi bagi menangani kes seperti ini supaya ianya tidak berlaku.

"Kita mengalu-alukan kerajaan menubuhkan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) bagi menghadapi kes penipuan umrah dan berharap dapat mengurangkan kes ke tahap sifar," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menasihatkan agar jemaah umrah mengenal pasti agen-agen pelancongan yang diiktiraf oleh kementeriannya.

"Kita beri kebenaran visa dan pengiktirafan hanya kepada syarikat yang didaftar di bawah kementerian kita untuk mengendalikan umrah.

"Untuk kes-kes lambat dapat visa ini adalah syarikat yang dikira tidak layak untuk menyediakan pakej umrah. Kita cadangkan lihat di 'website' kita untuk semak syarikat pelancongan yang diiktiraf," tambah beliau.

Beliau turut menegaskan pakej umrah yang ditawarkan dengan harga RM4,900 ke bawah untuk 12 hari 10 malam kebanyakannya adalah menipu.

Di dalam soalan asal, Nik Abduh meminta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan menyatakan keberkesanan penubuhan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) dalam mengawal kes penipuan umrah dan usaha-usaha lain yang turut dilakukan bagi mencegah perkara ini.

Sumber: Harakahdaily

0 comments