Hanya Tuhan Tentukan Mabrur Atau Tidak

PETALING JAYA | Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempertikaikan ibadat peserta program haji 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus mengundang kecaman daripada agamawan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan hanya Tuhan yang boleh menentukan sama ada ibadat haji peserta mabrur atau tidak.

“Siapa dia hendak mempersoalkan ibadat orang lain? Tidak wajar Dr Mahathir cuba mainkan peranan Tuhan selepas mendapat pelbagai nikmat dan rezeki daripada Allah,” kata Asyraf lapor Mingguan Malaysia hari ini.

“Jika Rasulullah pun tidak tahu tentang hal ibadat individu lain, apatah lagi orang biasa. Apa yang penting, individu yang melaksanakannya benar-benar ikhlas dan tahu apa yang dilakukan.”

Sebelum ini, pada satu ceramah di Taman Wira Mergong, Alor Setar, Kedah, Dr Mahathir mendakwa jemaah yang menunaikan ibadat haji dengan menggunakan wang program khas haji perdana menteri-Yayasan 1MDB, tidak akan mendapat haji mabrur.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata haji yang tidak mabrur itu berpunca daripada wang haram yang dikatakan dicuri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Asyraf berkata Dr Mahathir perlu bersyukur dengan nikmat yang diberikan termasuk dalam zaman kepimpinan beliau.

Dalam laporan yang sama, ahli geostrategi Azmi Hassan menyifatkan strategi Dr Mahathir untuk memburukkan kerajaan kali ini sebagai berbahaya.
“Lebih malang lagi dakwaan ini boleh memberi kesan dan gangguan kepada jemaah yang menyertai program berkenaan kerana ia berkaitan ibadat seseorang,” ujarnya.

Sejak 2011, Yayasan 1MDB menaja ahli jawatankuasa masjid untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Pada 2011 seramai 111 jemaah dari seluruh negara dihantar menunaikan ibadah haji dan jumlah bertambah kepada 400 orang pada tahun berikutnya, 2013 (800), 2014 (1,000) dan 2015 (1,200).

Manakala, bagi 2016 seramai 150 imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari Sarawak dipilih menyertai program itu.

Sumber: FreeMalaysiaToday

0 comments