Ancaman Pneumokokus, Jemaah Haji Perlu Vaksinasi

Bulan Zulhijjah merupakan satu bulan di mana umat Islam yang berkemampuan diwajibkan untuk memenuhi salah satu rukun Islam kelima iaitu ibadah haji.

Kedatangan bulan ini pada setiap tahun disambut meriah oleh umat Islam seluruh dunia dengan berkunjung ke Baitullah bagi melaksanakan rukun tersebut.

Himpunan jutaan orang yang datang dari segenap pelosok dunia yang begitu sesak dan padat pada masa ini boleh mendedahkan mereka kepada perebakan penyakit berjangkit.

Jadi, secara tidak langsung perkara tersebut boleh mendedahkan mereka kepada risiko mendapat jangkitan yang mengancam nyawa seperti Pneumokokus.

Ikuti wawancara wartawan Mynewshub bersama Pakar Perubatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Suhazeli Abdullah bagi merungkai dan menjawab persoalan orang ramai mengenai penyakit berkenaan.

Menurut Dr Suhazeli, Pneumokokus merupakan salah satu penyakit spesifik yang disebabkan oleh jangkitan kuman pada paru-paru.

Memetik sumber, penyakit ini boleh mengakibatkan berlakunya radang paru-paru (Pneumonia), radang selaput otak (Meningitis) dan jangkitan dalam darah (Bacteremia).

“Pneumokokus merupakan salah satu daripada penyakit yang spesifik. Pneumo bermaksud paru-paru, manakala kokus pula jenis kuman yang merbahaya. Jadi, Pneumokokus adalah satu jenis penyakit jangkitan kuman ke paru-paru,” terang beliau ketika ditemui di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Putrajaya, Jumaat lalu.

Menurut Dr Suhazeli, dengan anggaran lebih daripada dua juta jemaah yang berhimpun di tanah suci, satu keadaan padat risiko jangkitan pasti berlaku.

Berada dalam keadaan itu untuk jangka masa yang lama, secara tidak langsung boleh mengakibatkan bakteria mudah merebak.

Tambahan pula, difahamkan penyakit ini boleh berjangkit melalui titisan cecair yang keluar daripada saluran pernafasan ketika batuk, selesema ataupun bersin terutama sekali sewaktu berada dalam jarak yang dekat.

“Satu sesi untuk haji paling minimum dalam anggaran 2.5 juta jemaah. Apabila keadaan sesak macam itu, bakteria akan mudah merebak.

“Kaedah jangkitan untuk penyakit ini adalah melalui pernafasan. Bila duduk dekat dan rapat, ada pula orang yang batuk. Ia akan cepat merebak,” tambahnya.

Jelasnya lagi, adalah sesuatu yang sangat penting kepada pesakit mahupun ahli keluarga untuk mengetahui tanda-tandanya agar dapat dicegah dengan lebih awal.

Antara simptom paling ketara bagi jangkitan ini adalah seperti batuk dan demam.

“Kalau dia menyerang tubuh manusia. Ia akan memberi beberapa tanda. Paling biasa adalah batuk dan demam.

“Selain itu jemaah juga akan mengalami simptom lain seperti sesak nafas. Jika tidak dirawat segera, penyakit akan merebak teruk sehingga akan ada yang dimasukkan ke wad.

“Bagaimanapun, selain daripada batuk terdapat juga tanda-tanda yang tidak spesifik seperti hilang selera makan, muntah, letih dan tidak bermaya.

“Kajian mendapati kebanyakan kes kemasukan ke tanah suci adalah akibat daripada sistem paru-paru. Di mana 39% kemasukan ke wad akibat jangkitan kuman ke paru-paru, manakala 17% daripadanya membawa kepada kematian,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya bagi menangani masalah ini Lembaga Urusan dan Tabung Haji dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewajibkan para jemaah untuk mendapat suntikan vaksin Anti Meningococcal Meningitis sebelum berangkat ke tanah suci.

Vaksin tersebut sangat penting diambil terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi seperti individu berumur 50 tahun keatas, pesakit kanser, pengidap penyakit kronik dan perokok.

“KKM dan Tabung Haji telah mewajibkan jemaah haji untuk mengambil vaksin Meningococcal Meningitis Quadrivalent sebelum berangkat ke tanah suci. Kalau tak ambil, tak boleh pergi.

“Penyakit ini agak dominan. Dimana,terdapat statistik laporan kemasukan wad dan juga kematian. Tapi kita akan bagi pilihan sama ada suntikan vaksin Pneumokokus ataupun vaksin Influenza.

“Walaupun masih optional tapi suggestion adalah lebih kepada jemaah haji yang berumur 50 ke atas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik. Contohnya, darah tinggi, kanser dan sebagainya. Dalam bahasa mudah, mereka yang berpenyakit.

“Kebiasaannya, risiko untuk dapat penyakit ini adalah mereka yang terdiri daripada golongan sememangnya berpenyakit, terutamanya asma dan kencing manis. Golongan seperti itu lagi mudah dijangkiti berbanding orang lain,” katanya.

Untuk rekod, Vaksin Influenza ialah suntikan di mana secara umumnya dikenali sebagai flu dan boleh diambil sebulan sebelum berangkat ke tanah suci.

Vaksin Pneumokokus pula merupakan suntikan bagi mencegah daripada penyakit pneumonia yakni sejenis jangkitan serius pada bahagian paru-paru disebabkan oleh virus ataupun bakteria.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan beberapa langkah lain seperti membuat persediaan sama ada daripada segi ilmu, mental, rohani dan jasmani.

“Sebelum pergi jemaah haji kena sihat, buat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.

“Bakal jemaah juga diminta agar tidak menyembunyikan penyakit mereka daripada pengetahuan Tabung Haji sebelum berlepas dan semasa berada di Tanah Suci.

“Selain itu, elakkan juga berada ketika waktu kemuncak dan jaga kesihatan. Kalau rasa demam segeralah berjumpa dengan doktor,” jelasnya sebagai saranan.

Oleh hal yang demikian, para bakal haji diminta agar sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri sepanjang keberadaan di Baitullah.

Berilah kerjasama yang baik kepada petugas serta sesama jemaah haji dan ingatlah ibadah tersebut merupakan satu perjalanan menuju Ilahi dan bukan lawatan untuk keseronokan.

Sumber: Mynewshyub

0 comments