Tunggu 40 Minit Atau Tawaf Lebih 5km

Projek Rehabilitasi Kawasan Zamzam di Dataran Kaabah, Masjidil Haram yang mula dilaksanakan sejak Oktober lalu, dijangka selesai hujung Mei  depan membabitkan keluasan keseluruhan 2,535 meter persegi.

Perunding Kos Aecom Arabia Ltd Co, Mohd Rus Abbas berkata, ketika ini kerja-kerja pemulihan membabitkan kawasan seluas 679 meter persegi sudah bermula di sebelah kanan dan belakang makam Nabi Ibrahim atau bahagian utara dataran.

“Pemulihan seterusnya dilaksanakan di kawasan selatan dataran yang meliputi keluasan 400 meter persegi. Kerja-kerja pembetung juga akan dilaksanakan menerusi projek itu dan ia meliputi kawasan seluas 1,456 meter persegi,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau berkata, kerja-kerja pemulihan itu dijadualkan mengambil masa kira-kira tujuh bulan dan sepanjang tempoh itu sekitar dataran dikawal rapi untuk menjamin keselamatan jemaah, khususnya yang hendak bersolat dan bertawaf berhampiran Baitullah.

Buat masa sekarang, jemaah yang hendak bertawaf di dataran Kaabah perlu menunggu 40 minit dan hanya pintu di pintu King Fahd dibuka untuk tujuan itu.

Bagaimanapun, pintu lain masih dibuka untuk tujuan bersolat dan jemaah tidak perlu bimbang untuk beribadat.

“Kawalan ketat dilakukan kerana projek pemulihan itu juga menyebabkan jemaah yang hendak bertawaf di dataran Kaabah perlu menunggu agak lama. Bagaimanapun, jemaah boleh bertawaf di paras lain di dalam masjid jika enggan menunggu,” katanya yang mula bertugas dengan syarikat yang mengendalikan urusan kewangan projek berkenaan yang berpangkalan di Makkah sejak tujuh tahun lalu.

Jemaah boleh tawaf di paras bawah dan masuk melalui pintu King Abdul Aziz tetapi ia memerlukan tenaga kerana keseluruhannya perlu berjalan kira-kira 800 meter untuk setiap pusingan dan berdasarkan kiraan itu, jemaah perlu berjalan 5.6 kilometer bagi melengkapkan tujuh pusingan yang mengambil masa kira-kira satu setengah jam.

Jemaah juga boleh bertawaf di paras satu iaitu dengan memasuki kawasan ram (iaitu laluan umpama tiub kapal terbang) dan ini juga akan mengambil masa panjang.

Sehubungan itu, jemaah perlu memastikan keadaan kesihatan baik dan kekal bertenaga kerana jarak itu hanya membabitkan pusingan tawaf dan tidak termasuk ibadat saie.

Justeru, jika tidak sanggup untuk berjalan 800 meter untuk setiap pusingan tawaf, jemaah boleh menaiki skuter dan khidmat itu boleh diperoleh di paras Mezanin.

Adalah diharapkan semua kerja-kerja pemulihan itu dapat diselesaikan menjelang Ramadan tahun depan untuk keselesaan jemaah umrah dan kelancaran ibadat pada waktu puncak sepanjang bulan mulia itu nanti.

Sumber: Mstar

0 comments