Arab Saudi Sedia Terima Jemaah Akhir Ramadan



MEKAH 18 Ogos - Ketua Pengarah Pertahanan Awam Arab Saudi, Leftenan Jeneral Saad Abdullah al-Tuwaijri berkata, jabatannya telah bersedia sepenuhnya untuk menerima sejumlah besar jemaah dalam tempoh 10 hari terakhir Ramadan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Menurut Saad, pihaknya telah melakukan penambahan pegawai sebanyak 30 peratus di kedua-dua masjid yang dijangka akan menerima kebanjiran jemaah dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, penambahan pegawai yang dibuat untuk memberi sokongan kepada pegawai sedia ada itu telah pun mula bertugas.

“Kami telah menempatkan 1,000 pegawai tambahan di Masjidil Haram, Mekah dan 1,000 lagi di Masjid Nabawi di Madinah untuk berdepan dengan tempoh 10 hari terakhir Ramadan.

“Semua pegawai itu turut diberikan peralatan yang sepatutnya supaya boleh segera campur tangan jika berlaku sebarang masalah,” ujar Saad.

Saad berkata, mereka turut meningkatkan usaha bagi memastikan keselamatan jemaah dan pengunjung terjamin.

“Kami akan memindahkan semua halangan-halangan yang membahayakan orang awam dan bertindak tegas kepada mereka yang cuba mengambil kesempatan ketika waktu puncak ini.

“Tempoh 10 hari terakhir Ramadan adalah cabaran besar kepada kami kerana jumlah jemaah yang datang sangat ramai,” kata Saad.

Menurutnya, sejumlah kamera turut dipasang di pelbagai tempat untuk memantau pergerakan jemaah dan pihaknya akan campur tangan jika perlu.

Setakat ini, sejumlah 9,600 pegawai telah ditempatkan di Mekah bersama 1,440 kelengkapan dan jentera, selain 2,000 lagi pegawai dengan 400 kelengkapan. - AGENSI

Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 19/8/2011.