Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin
SETIAP
kali menyaksikan solat tarawih secara langsung dari Masjidil Haram, ramai yang
bersyukur kerana seolah-olah dapat bersama-sama jutaan umat Islam seluruh dunia
menunaikannya di Mekah. Namun, tidak ramai yang tahu bahawa selain kecanggihan
teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), siaran langsung itu adalah hasil
keprihatinan kerajaan Arab Saudi. Semuanya dengan niat agar manusia khususnya
umat Islam seluruh dunia dapat menyaksi dan menghayati keindahan Islam.
Menonton
solat tarawih secara langsung secara tidak langsung dapat menyuntik semangat
kita meneruskan perjuangan mengisi tabung amal sepanjang Ramadan yang mulia
ini. Bagi memastikan kelancaran siaran langsung itu, Gulf Information Office
(GIO) menyediakan 12 petugas di Mekah dan 10 petugas di Madinah.
Penyelia
GIO Mekah, Ali A. Al-Ekbaly berkata, sebanyak enam jurukamera diperlukan bagi
siaran langsung majlis berbuka puasa dan solat tarawih di Masjidil Haram. Katanya,
GIO adalah penyiar dan pengedar tunggal yang mendapat kebenaran kerajaan Arab
Saudi bagi merakam visual untuk Masjidil Haram. Menurutnya, semua rakaman audio
di Masjidil Haram perlu mendapat kelulusan kerajaan terlebih dahulu.
“Tahun
lalu, kita memberi hak siaran langsung solat tarawih secara percuma kepada
banyak negara Islam seperti Kuwait, Sudan, Mesir, Libya dan Jordan.
“Ia
termasuk Malaysia melalui saluran Astro Oasis yang disiarkan pada pukul 3 pagi,”
katanya dalam pertemuan dengan Mega di Masjidil Haram, Mekah, baru-baru ini.
Dalam
pertemuan itu, penulis turut dibawa ke bilik operasi Outsite Broadcast (siaran
luar) yang dikawal oleh empat petugas dan dua jurutera.
Petugas
di OB inilah yang memastikan kelancaran siaran langsung bermula daripada
berbuka sehingga tamatnya solat tarawih. Bagaimanapun, siaran langsung itu
hanya boleh disaksikan di Arab Saudi. Negara lain termasuk Malaysia yang
menyiarkan siaran langsung solat Isyak dan tarawih daripada Masjidil Haram.
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 12/8/2011.