Oleh
SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN
TABUNG
Haji (TH) mengorak langkah menongkah arus, membelah badai menerajui dunia
pengurusan haji. Dengan moto Bersama Santuni Dhuyufurrahman, TH bertekad
memberi khidmat yang terbaik kepada jemaah haji di Malaysia.
Sebelum
ketibaan jemaah haji, anggota Tabung Haji telah siap sedia menyediakan
prasarana dan kemudahan untuk jemaah haji. Penyelarasan diatur dengan pihak
berkuasa di Arab Saudi bagi melicinkan operasi haji pada setiap tahun.
Setiap
tahun, seramai 27,900 orang jemaah haji Malaysia adalah di antara hampir tiga
juta umat Islam yang bertuah dijemput oleh Allah sebagai tetamu-Nya di
Baitullah. Secara umumnya sambutan dan urusan pengendalian jemaah haji di Tanah
Suci melibatkan tiga sektor yang utama iaitu Pusat Pengurusan Operasi di Mekah,
Madinah dan Jeddah.
Pada
kebiasaannya di samping sokongan yang dijalankan oleh pejabat Tabung Haji di
Jeddah, Arab Saudi, TH juga menghantar petugas haji seminggu lebih awal untuk
menyambut kedatangan jemaah di samping persiapan bagi menyediakan prasarana.
Pada
umumnya rombongan ini diketuai oleh Ketua Rombongan Haji. Terdapat dua kategori
anggota yang bertugas di Tanah Suci iaitu rombongan kebajikan dan rombongan
perubatan. Rombongan kebajikan berperanan menyedia dan menyelia keperluan dan
kebajikan jemaah haji di Tanah Suci sementara rombongan perubatan menyelia hal
ehwal kesihatan.
Kemasukan
jemaah haji Malaysia biasanya melalui dua pintu iaitu di Lapangan Terbang
Putera Mohamad Madinah al-Munawwarah (مطار الامير محمد بن عبد العزيز الدولي المدينة) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz (مطار الملك عبد العزيز الدولي), Jeddah. Kemasukan jemaah haji secara berperingkat-peringkat
melalui Madinah sebelum ke Mekah dan kemudiannya melalui Jeddah sebelum wuquf. Di
Madinah dan Mekah misalnya, persediaan menyambut jemaah haji telah dilakukan
dengan begitu rapi.
Beberapa
mesyuarat penyelarasan dengan pihak Muassasah Adillak di Madinah dan Muassasah
Tawwafah di Mekah diadakan. Selain itu kemudahan seperti kaunter pengeluaran
wang, klinik rawatan, kafeteria dan kemudahan perhubungan disediakan. Sebagai
perkhidmatan yang penting bimbingan haji kepada jemaah, pembimbing ibadat haji
dan kaunseling turut disediakan.
Fasa
yang paling penting dalam menyelaras pengurusan jemaah haji ialah semasa
persediaan untuk menghadapi wuquf. Beberapa siri lawatan ke tempat perkhemahan
di Arafah dan Mina diadakan.
Sebagai
tambahan, beberapa anggota yang bertugas di Madinah dan di Jeddah diserapkan
dalam pengurusan maktab bagi melicinkan operasi Masyair. Operasi Masyair amat
getir dengan pengendalian keseluruhan jemaah haji seluruh dunia pada satu
ketika dari satu tempat menuju ke satu tempat yang sama.
Pada
tempoh ini juga jemaah haji akan melakukan kerja-kerja haji seperti berwuquf di
Arafah, bermabit di Muzdalifah dan Mina serta melontar di Jamrah. Semasa
Operasi Masyair anggota TH membantu pihak Muassasah bagi menggerakkan kesemua
jemaah haji. Pergerakan jemaah haji ini dipantau melalui Pusat Maklumat Operasi
di Mekah.
Komunikasi
Terkini
Penggunaan
alat komunikasi terkini dan maklumat pergerakan berasaskan laman web banyak
membantu melicinkan operasi.
Setelah
jemaah selesai mengerjakan ibadat haji, mereka diatur untuk pergerakan pulang. Keberangkatan
pulang jemaah biasanya melalui Lapangan Terbang Madinah dan Jeddah. Bagi jemaah
haji yang telah memasuki Mekah melalui Madinah mereka akan pulang melalui
Jeddah. Begitu juga sebaliknya jemaah haji yang memasuki Mekah melalui Jeddah
akan pulang melalui Madinah.
Pengurusan
Haji di Tanah Suci melibatkan beberapa penglibatan agensi penting di Arab Saudi
seperti Muassasah Adillak, Muassasah Tawwafah, Nagabah, United Agent di Jeddah
dan Kementerian Haji di Arab Saudi. Sesungguhnya pengurusan haji di Tanah Suci
bukanlah sesuatu yang mudah. Dengan izin Allah jua jemaah haji Malaysia dapat
diatur perjalanan mereka dengan baik ke arah mencapai haji yang mabrur.
Nasihat
kepada bakal-bakal haji ialah supaya mengambil kesempatan daripada masa yang
masih ada sebelum tarikh keberangkatan ke Tanah Suci untuk menyiapkan diri
daripada segi ilmu, mental, fizikal, kesihatan, rohani dan keperluan
barang-barangan. Sama-sama kita berdoa agar perjalanan haji pada tahun ini
dapat berjalan dengan baik dan penuh dengan keberkatan.
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 16/9/2011.