Oleh
Tengku Aziz Raja Abdullah
RUKUN
haji adalah pekerjaan yang mesti dilakukan semasa menunaikan fardu haji. Jika
tidak ditunaikan sama ada sengaja atau tidak maka tidak sah hajinya.
Rukun-rukun haji ialah:
1.
Niat melakukan haji
Setiap
amalan dalam Islam dimulakan dengan niat. Begitu juga bagi haji, niat untuk
melakukan haji ini iaitu: “Sahaja aku melakukan haji dan berihram dengannya
kerana Allah SWT.”
Seelok-elok
niat adalah dalam bahasa Arab, jika tidak dalam bahasa Melayu pun dibolehkan.
Niat ihram boleh dilakukan di mana-mana tempat yang telah ditentukan dan
disebut sebagai miqat tempat.
Kebiasaannya
miqat tempat bagi mereka yang memasuki Mekah melalui Madinah ialah di Bir Ali
manakala yang datang dari arah Malaysia dan terus memasuki Mekah adalah di
Qarnul Manazil.
Tidak
sah berniat miqat di Jeddah kerana Jeddah bukannya tempat miqat bagi mereka
yang datang pertama kali merentasi miqat.
2.
Wuquf di Padang Arafah
Rukun
haji yang kedua merupakan wuquf di Padang Arafah. Masa yang dibolehkan wuquf di
Arafah bermula masuk waktu zuhur (gelincir matahari) pada hari yang ke-9
Zulhijjah hingga terbit fajar pada hari 10 Zulhijjah. Inilah masa wuquf yang
berlaku satu kali dalam setahun.
Wuquf
dikira sah walaupun duduk dalam kenderaan di Arafah sama ada baring, tidur atau
jaga-melainkan gila. Gila tidak sah wuquf kerana telah terkeluar daripada
syarat sah haji.
Jemaah
yang hendak berwuquf hendaklah terdiri daripada ahli ibadat serta telah berniat
ihram haji (tidak sah haji mereka yang hilang akal) dan berada di bumi Arafah
walau seketika dalam masa waktu wuquf.
Semasa
wuquf di Arafah, sekiranya jemaah menunaikan solat secara jamak tamam adalah
sah kerana masyaqqah dan mengikut pendapat harus jamak tersebut kerana nusuk.
3.
Tawaf Ifadah bagi haji
Rukun
haji yang ketiga adalah tawaf di Baitullah di Mekah. Tawaf rukun hendaklah
dilakukan setelah mereka berwuquf di Arafah. Masuk waktu untuk bertawaf rukun
haji bermula waktu tengah malam pada malam 10 Zulhijjah.
(Perkiraan
waktu tengah malam dikira masuk waktu maghrib hingga masuk waktu subuh dibahagi
dengan 2, jawapan daripada masa tersebut maka itu waktu tengah malam).
Syarat
sah tawaf sama seperti untuk tawaf qudum, wida', tahiyatul bait, nazar serta
sunat. Ada lapan syarat sah tawaf iaitu:-
*
Menutup aurat.
*
Suci daripada hadas besar dan kecil.
*
Suci badan, pakaian dan tempat tawaf daripada najis.
*
Bermula dan berakhir pada sudut Hajarul Aswad.
*
Menjadikan Kaabah di sebelah kiri dan berjalan ke hadapan.
*
Dilakukan dalam Masjidil Haram dan di luar Kaabah.
*
Mengekalkan niat tawaf kerana Allah SWT sepanjang masa tawaf.
*
Dilakukan tujuh pusingan dengan yakin.
4.
Saie
Rukun
yang keempat adalah saie. Saie yang dikehendaki di sini adalah berjalan
ulang-alik di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah mengikut syarat-syaratnya.
Walau
bagaimanapun untuk sah saie haji, jemaah perlulah memenuhi syarat-syarat
seperti berikut:
*
Dilakukan selepas tawaf qudum atau tawaf rukun.
*
Bermula di Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah
*
Cukup tujuh kali berulang-alik dengan yakin dikira dari Safa ke Marwah sekali
dan Marwah ke Safa sekali.
*
Hendaklah sampai ke penghujung tempat saie di kaki Bukit Marwah dan kaki Bukit
Safa pada setiap saie.
*
Hendaklah melakukan saie di tempat yang telah ditetapkan.
*
Mengekalkan niat saie kerana Allah SWT sepanjang masa saie.
5.
Bercukur atau bergunting
Bercukur
atau bergunting adalah rukun haji yang kelima - iaitu menanggalkan
sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Bagi lelaki disunatkan bercukur dan bagi
wanita disunatkan bergunting rambut.
Rambut
itu hendaklah dipotong sekurang-kurangnya sepanjang seruas jari di mana-mana
sudut kepala. Bagi yang tidak mempunyai rambut, adalah disunatkan melalukan
mata pisau cukur di atas kepala.
Jemaah
haji boleh juga bercukur atau menggunting rambut sendiri dan rambut orang lain
apabila masuk waktunya dengan tujuan niat tahalul.
Bagi
haji, ada dua keadaan bergunting atau bercukur untuk tahalul (menanggalkan
perkara yang dilarang dalam ihram dengan cara gunting rambut) iaitu Tahalul
Awal dan Tahalul Thani.
Tahalul
Awal terjadi apabila jemaah selesai melakukan dua daripada tiga perkara
berikut:
*
Melontar di Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah.
*
Bergunting atau bercukur.
*
Tawaf dan saie haji.
Tahalul
Thani terjadi apabila jemaah melakukan ketiga-tiga perkara tersebut.
6.
Tertib pada kebanyakan rukun
Tertib
pada kebanyakan rukun termasuk rukun keenam bagi haji. Dimaksudkan dengannya
adalah rukun haji dikerjakan dengan tertib pada kebanyakan rukun iaitu
didahulukan niat ihram haji dari rukun-rukun yang lain.
Didahulukan
niat dari wuquf, Tawaf Ifadah dan didahulukan tawaf daripada saie (untuk haji
Tamattuk).
Saie
haji boleh mendahului wuquf dengan syarat telah melakukan tawaf qudum (bagi
haji ifrad dan qiran). Bercukur atau bergunting boleh mendahului tawaf ifadah
jika telah masuk waktunya.
Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 20/9/2011.