Oleh
MAZNAH DAUD
HAJI
adalah satu daripada rukun Islam yang lima. Ia fardu ke atas setiap muslim yang
mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya, sama ada lelaki mahupun wanita.
Meskipun
semua syarat, rukun, wajib dan sunat haji itu dituntut ke atas semua jemaah
lelaki dan wanita, terdapat beberapa perkara yang berbeza sesuai dengan keadaan
dan fitrah kejadian masing-masing.
Justeru,
terdapat beberapa permasalahan yang biasa dihadapi oleh jemaah wanita sahaja
dan permasalahan yang berkait dengan hubungan wanita dan lelaki.
Permasalahan-permasalahan
tersebut dapat dipecahkan seperti berikut:
1.
Haid dan istihadah serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
2.
Aurat.
3.
Perhubungan suami isteri.
4.
Pergaulan dengan rakan sebilik atau semaktab.
Haid Dan
Istihadah
Haid
merupakan permasalahan utama yang menjadi kerisauan para jemaah haji wanita.
Berbagai-bagai usaha dilakukan untuk mengelak kedatangan haid semasa berada di
tanah suci.
Tujuannya
supaya mereka dapat memberi sepenuh tumpuan kepada ibadah haji dan
amalan-amalan yang dituntut ketika berada di tanah suci khususnya ibadah solat,
tawaf dan iktikaf di sisi Kaabah di dalam Masjid al-Haram.
Kedatangan
haid sedikit sebanyak menjadi penghalang kepada pelaksanaan ibadah tersebut.
Hal ini telah dirasai sama oleh Saidatina Aisyah r.a.
Ketika
rombongan haji yang dipimpin oleh Rasulullah SAW pada tahun 10 hijrah tiba di
Sarif yang terletak lebih kurang 16 kilometer (km) dari kota Mekah, Saidatina Aisyah
r.a didatangi haid. Beliau sangat risau tidak dapat melaksanakan haji yang
merupakan satu-satunya tujuan beliau mengikuti rombongan itu.
Rasulullah
SAW menenangkan hati beliau dan secara tidak langsung menerangkan hukum bagi
wanita haid menunaikan haji. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Ini adalah satu
ketentuan Allah ke atas anak-anak perempuan Adam. Tunaikan hajimu sebagaimana
orang lain menunaikannya. Cuma kamu jangan tawaf di Baitillah sehingga kamu
mandi (bersuci daripada haid). (riwayat Muslim)
Nabi
SAW memujuk dan menenangkan hati isteri baginda dan kaum wanita umumnya bahawa
haid adalah sesuatu yang ditentukan sejak azali ke atas mereka. Jadi haid tidak
boleh dijadikan sebab tidak sempurnanya ibadah haji.
Haid
tidak menghalang wanita menunaikan semua rukun dan wajib haji kecuali tawaf di
Baitillah.
Sehubungan
itu jemaah haji wanita dinasihatkan supaya tidak berusaha menghalang kedatangan
haid secara normal dengan cara mengambil ubat-ubatan tanpa merujuk atau panduan
doktor yang pakar.
Tindakan
sedemikian sering menjadi punca timbulnya berbagai-bagai masalah yang tidak
diduga. Niat asal untuk membanyakkan ibadah di Masjid al-Haram tidak
kesampaian. Malah berlaku sebaliknya, haid yang hendak disekat telah datang
dalam keadaan yang membingungkan. Maka berhati-hati dan berhati-hati.
Aurat
Ramai
wanita yang masih keliru tentang aurat. Aurat bermaksud keaiban atau sesuatu
yang memalukan apabila didedahkan. Anggota tubuh badan kita adalah suatu amanah
yang perlu dijaga dan dipelihara daripada perkara-perkara yang mendatangkan
keaiban dan kemudaratan.
Lantaran
itu Allah perintahkan kita agar berpakaian dengan kemas dan cantik supaya kita
terpelihara daripada perkara-perkara keji dan mungkar. (rujuk al-A’raf ayat 26)
Menutup
aurat adalah selari dengan tuntutan fitrah. Lantaran itu syaitan amat suka
manusia mendedahkan aurat dan berusaha dengan pelbagai cara serta menghasut
agar manusia tidak menutup aurat dengan sempurna.
Hal
ini difahami daripada firman Allah dalam surah al-A’raaf ayat 20 hingga 22.
Aurat
wanita terbahagi kepada aurat yang wajib ditutup di dalam solat dan ketika
tawaf, dan aurat yang wajib ditutup di luar solat dan ketika tawaf.
Aurat
yang wajib ditutup di dalam solat dan ketika tawaf adalah seluruh tubuh
badannya kecuali muka dan dua tapak tangan.
Aurat
yang wajib ditutup di luar solat dan ketika tawaf terbahagi kepada:
1. Di
hadapan suami, tidak ada aurat yang wajib ditutup. Suami harus melihat seluruh
tubuh badan isterinya tanpa kecuali.
2. Di
hadapan kaum wanita muslimah adalah antara pusat dan lutut.
3. Di
hadapan lelaki mahram atau orang yang haram berkahwin dengannya ialah antara
pusat dan lutut. Maksudnya wanita boleh membuka anggotanya selain daripada
bahagian antara pusat dan lutut di hadapan lelaki mahram dengan syarat tidak
menimbulkan fitnah. Jika boleh menimbulkan fitnah maka haram membukanya.
4. Di
hadapan lelaki ajnabi, iaitu lelaki bukan mahram adalah seluruh tubuhnya.
Menurut pandangan mazhab Shafie, wanita tidak harus membuka anggota tubuhnya di
hadapan ajnabi walaupun sedikit kecuali kerana keuzuran yang dibenarkan oleh
syarak.
Berdasarkan
penjelasan di atas, tidak ada aurat semasa ihram. Sebaliknya ia tertakluk
kepada semua keadaan di atas. Umpamanya ketika berada di dalam bilik bersama
teman-teman wanita walaupun ketika berada di dalam ihram, tidak wajib
berpakaian menutup seluruh tubuh, kecuali bahagian antara pusat dan lutut. Bila
jemaah hendak keluar dari bilik yang kemungkinan besar akan bertembung dengan
lelaki ajnabi, jemaah mestilah berpakaian menutup seluruh tubuhnya kecuali muka
dan tapak tangan, sama ada ketika itu dia berada dalam ihram atau tidak.
Perhubungan
Suami Isteri
Kebanyakan
jemaah haji wanita ditemani oleh suami. Kesempatan berada di tanah suci sebagai
tetamu ar-Rahman sewajarnya menggunakan kesempatan itu untuk memupuk kasih
sayang dan mengeratkan ikatan cinta yang telah terbina.
Perbaiki
segala kesilapan yang lalu, buang yang keruh, ambil yang jernih. Namun
adab-adabnya perlu dijaga agar tidak menyinggung atau mengganggu jemaah lain.
Suami
janganlah memasuki bilik isteri dan isteri jangan memasuki bilik suami kecuali
dalam keadaan terpaksa seperti merawat sakit dan sebagainya kerana boleh
mengganggu ketenteraman dan keselesaan rakan-rakan sebilik masing-masing. Jika
ada urusan yang perlu dibincang, carilah tempat yang bersesuaian.
Pergaulan
Dengan Rakan Sebilik Atau Semaktab
Allah
SWT menjadikan semua mukmin tanpa mengira bangsa adalah bersaudara. Firman-Nya
bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah
bersaudara...(al-Hujurat: 10)
Justeru,
jemaah mestilah memandang para hujjaj dari pelbagai pelosok dunia itu adalah
saudara mereka. Saudara yang diikat oleh tali iman.
Semuanya
beriman kepada Allah yang satu, mengikuti Nabi yang satu, berpandukan kitab
yang satu dan mengadap kiblat yang satu.
Sebagai
saudara mereka mempunyai hak serta kewajipan terhadap satu sama lain.
Allah
dan Rasul SAW telah menggariskan beberapa perkara yang wajib dilaksanakan demi
menjaga hubungan persaudaraan sesama Islam.
Apa
lagi ketika berada di Tanah Suci di mana setiap muslim membawa niat yang sama,
iaitu menunaikan ibadah haji yang merupakan kemuncak pengabdian hamba terhadap
Tuhan Yang Maha Esa, Pencipta dan Pemilik alam semesta.
Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 27/9/2011.