Amalan Terbaik 1



Sesungguhnya ajaran Islam yang telah ditinggalkan Nabi SAW sudah cukup untuk kita amalkan. Tidak perlu lagi amalan pelik-pelik. Amalan sebegitu terkadang berbaur bidaah dan khurafat. Ini ditekankan dalam firman Allah Taala, Surah al-Maidah ayat 3:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا

Ertinya: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.

Oleh itu mari kita semak beberapa Hadith SAW berkaitan amalan terbaik sebagai bekalan akhirat kita. Kita laksanakan amalan yang mudah dan ringan dahulu sebelum bermain dengan angka zikir ribuan kali.

Hadith 1: Solat Sunat Subuh dengan 2 rakaat yang ringan pahalanya dan fadhilatnya melebihi segala kelebihan dan kenikmatan yang ada di dunia.

عَنْ عَائِشَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:  
رَكْعَتَا الْفَجْرِ، خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا.
[رواه مسلم]

Ertinya: Dari Aisyah r.a dari Nabi SAW:

Dua rakaat fajar (solat sunat Subuh) lebih baik daripada dunia dan isinya.
[HR Muslim]

Dalam Hadith yang lain Nabi SAW amat menitikberatkan solat ini dan membaca 2 surah pendek pada setiap rakaat.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ فِي رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ.
[رواه مسلم]

Ertinya: Dari Abu Hurairah r.a bahawa dalam dua rakaat fajarnya, Rasulullah SAW membaca Surah al-Kafirun dan Surah al-Ikhlas.
[HR Muslim]

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ عَلَى شَيْءٍ مِنْ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مُعَاهَدَةً مِنْهُ عَلَى رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الصُّبْحِ.
[رواه مسلم]

Ertinya: Dari Aisyah r.a bahawa tidak ada solat sunnah yang lebih dijaga Nabi SAW daripada dua rakaat sebelum Subuh.
[HR Muslim]

Jadi apa tunggu lagi? Jangan kita solat sunat lain beratus-ratus rakaat tapi Solat Sunat Subuh ini kita tinggalkan padahal ia terletak ditangga dalam rangking pertama solat sunat.