Oleh Mohd. Radzi
Mohd. Zin
Di Tanah Suci,
pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Kisah perselisihan faham antara suami
isteri juga acapkali kita dengar walaupun pasangan tersebut hidup rukun damai
di Malaysia.
Antara sebabnya,
masalah komunikasi antara suami isteri terutama bagi yang mengikut muassasah.
Hal ini bukan sahaja melibatkan soal suami ‘tertinggal’ isteri semasa mahu ke
Masjidil Haram atau Masjid Nabawi tetapi juga melibatkan hubungan intim suami
isteri.
Eksekutif
Bimbingan, Tabung Haji Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS), Abdul Rahman
Hamzah berkata, kes bermasam muka akibat ketiadaan hubungan intim suami isteri
ini memang berlaku walaupun ramai yang malu bercakap mengenainya.
Katanya,
berdasarkan pengalaman mengurus jemaah haji, ada suami yang jadi pemarah atau
terganggu emosinya disebabkan masalah ini.
“Sebab itu,
jemaah haji jangan malu berjumpa petugas Tabung Haji (TH) untuk menggunakan
Bilik Berkat yang disediakan di hotel-hotel di Mekah.
“Tujuan
disediakan bilik tersebut bagi membolehkan suami bersama dengan isteri sebelum
bergerak ke Arafah.
“Ini penting
supaya mereka bergerak ke Arafah dengan suasana ceria dan emosi yang stabil
agar dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna,” katanya kepada Mega, baru-baru
ini.
Abdul Rahman,
31, berpengalaman membimbing jemaah haji sejak tahun 2001 dan pernah bertugas
dengan Darus Salam Holding di Brunei selama enam tahun iaitu sehingga tahun
2006.
Selepas
menyertai THTS pada tahun 2007, lulusan Universiti Umm al-Qura’, Mekah itu
dilantik sebagai Penolong Timbalan Pengurus Maktab Haji di Mekah sehingga tahun
2008.
Seterusnya
dilantik sebagai Timbalan Pengurus Maktab Haji di Mekah mulai tahun 2009 hingga
sekarang.
Abdul Rahman
juga menasihati jemaah haji agar tidak mensia-siakan waktu mustajab berdoa
iaitu 30 minit sebelum terbenam matahari pada 10 Zulhijjah semasa berada di
Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Sebabnya, kata
beliau, pada waktu itu gangguan syaitan amat hebat sehingga ramai jemaah ‘disibukkan’
dengan hal-hal lain.
“Ketika ini,
jemaah berada dalam ihram tetapi masa ini jugalah ada jemaah yang sibuk nak
mengambil makanan, ais krim dan sebagainya,” jelas beliau.
Pada masa yang
sama, Abdul Rahman mengingatkan jemaah yang menaiki penerbangan akhir ke Mekah
supaya tidak berusaha mencukupkan umrah sunat tujuh kali dalam masa lima hari.
“Dikhuatiri
perbuatan ini boleh menjejaskan kesihatan jemaah kerana mereka masih belum ke
Arafah untuk wuquf dan melontar di Mina.
“Kalau hendak
buat, boleh tetapi selepas selesaikan haji dulu,” jelas beliau.
Oleh kerana
kewajipan menunaikan haji itu barangkali sekali seumur hidup, elok juga jemaah
mempersiapkan diri dengan doa-doa untuk dibawa ke Tanah Suci.
Abdul Rahman
menyarankan agar doa itu ditulis sejak di tanah air dan anak-anak boleh
membantu ibu bapa masing-masing dalam hal itu.
“Demikian juga,
pastikan kita membawa sejadah, tasbih dan kasut sebagai persediaan di Mina
semasa berada di Arafah untuk mengelak pecah pada tumit dan tapak kaki,”
katanya.
Seperti yang
kita maklum, Tanah Suci adalah tempat mustajabnya doa dan juga tempat di mana
pembalasan Allah itu boleh berlaku serta-merta, maka perlulah jemaah haji
menjaga tingkah laku dan tutur kata agar tidak menyakiti orang lain.
“Berhati-hati
dalam bercakap dan tengok apa yang berlaku tetapi jangan suka bagi ulasan,”
tambah beliau.
Sumber: Utusan
Malaysia. Khamis. 29/9/2011.