Pakej Haji THTS Diyakini


Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN

REZEKI yang dikurniakan Allah kepada kita tidak sama. Ada yang mendapat rezeki melimpah ruah dan ada pula yang diuji dengan kesulitan hidup di dunia ini.

Bagi yang berkemampuan sudah pasti menyimpan hasrat mendapat layanan lebih istimewa semasa menunaikan ibadat haji. Sementelahan ia hanya wajib sekali seumur hidup.

Itulah bermulanya perkhidmatan Tabung Haji Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS) kira-kira 20 tahun lalu, kata Pengarah Eksekutifnya, Mohd. Salleh Abd. Mubin.

Kata beliau, sesetengah jemaah haji ada keupayaan untuk membayar lebih dan mahu perkhidmatan tambahan di Tanah Suci.

“Kalau jemaah lain tinggal di apartmen kenapa tidak boleh diadakan hotel sebagai penginapan.

“Jadi syarikat (THTS) diminta menawarkan perkhidmatan ini dengan kerjasama pemilik hotel di Mekah,” katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Asas perkhidmatan THTS dahulu adalah khidmat TH, urusan haji menggunakan kapal laut, bantu proses membuat pasport, visa dan pelepasan jemaah.

Mulai tahun 1991, THTS diminta memperluaskan khidmat dengan menguruskan pakej haji. Sejak itu bermulalah era baru THTS melibatkan urusan prapenerbangan jemaah haji, daftar masuk, urusan pasport dan sebagainya.

Kini, THTS menawarkan pakej haji berharga antara RM20,000 sehingga RM125,000 mengikut kategori tertentu.

Antara kelebihan perkhidmatan pakej haji berbanding muassasah, kata Mohd. Salleh, adalah lokasi hotel berhawa dingin yang berhampiran Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Selain itu, turut diadakan taklimat khas sebelum berangkat ke Tanah Suci selain program bimbingan secara berterusan di sana.

“Kita juga menyediakan bas berhawa dingin di Mekah, Madinah dan Jeddah selain mempunyai petugas berpengalaman di setiap lokasi penginapan jemaah,” katanya.

Menyedari persaingan agensi-agensi lain yang turut menawarkan perkhidmatan pakej haji setiap tahun, Mohd. Salleh memberitahu, pihaknya memberi fokus kepada kemudahan penginapan, pergerakan, pengangkutan dan bagasi jemaah di Mekah, Madinah dan Jeddah.

Untuk itu pihaknya mengadakan rundingan awal dengan Muassasah Asia Tenggara (Mekah) dan Muassasah Adilaq (Madinah) untuk mengatur pergerakan dan kemudahan jemaah.

Menurutnya, kemudahan WiFi di turut disediakan hotel-hotel jemaah THTS selain nisbah petugas 1:50 jemaah.

“Dalam usaha menambah baik perkhidmatan, tahun ini kita bekerjasama dengan sebuah syarikat untuk membekalkan kad sim prabayar Zain (Arab Saudi) kepada jemaah kita.

“Kad itu bernilai RM25 dan ia memudahkan perhubungan dengan keluarga di Malaysia atau suami isteri yang menunaikan haji,” katanya.

Mohd. Salleh berkata, tahun ini THTS menugaskan kira-kira 110 pegawai bagi membantu mengurus jemaah haji di Tanah Suci.

“Jumlah itu termasuk tukang masak dan juga pembimbing haji. Pembimbing haji adalah penduduk tetap keturunan Melayu di sana yang boleh berbahasa Melayu.

“Harapan kita, dengan adanya pembimbing begini akan memudahkan jemaah haji mendapat bimbingan selain menjadi tempat rujukan jika menghadapi masalah,” tambahnya.

Sementara itu, Pengurus Besar (Pemasaran) THTS, Mohd. Badrulhisham Abdul Latif berkata, selain pakej haji dan umrah pihaknya juga akan memperkukuhkan lagi pakej pelancongan.

Katanya, ia meliputi pelancongan domestik dan juga kawasan serantau, Timur Tengah serta Eropah.

“Tumpuan kita adalah destinasi yang mempunyai kesan tamadun Islam. Maksudnya, kita tawarkan bukan semata-mata makan angin.

“Sebaliknya dapat belajar kesan-kesan peninggalan umat Islam walaupun mereka adalah penduduk minoriti di situ,” jelasnya.

Yang lebih utama, kata Badrulhisham, THTS menawarkan pakej pelancongan Muslim yang menjamin tidak abai waktu solat, makan minum yang halal dan sebagainya.

Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 30/9/2011.