Solat
Hormat Waktu
Oleh:
DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI
KEPENTINGAN
solat yang perlu dilakukan dalam semua keadaan amat jelas berdasarkan sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: Solatlah dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu
dalam keadaan duduk. Jika tidak mampu maka solatlah dalam keadaan mengiring.
(riwayat al-Bukhari).
Tetapi
ada ketikanya, sama ada akibat darurat atau sebagainya, kita tidak dapat
berwuduk atau bertayamun bagi menunaikan solat. Dalam hal ini umat Islam boleh
menunaikan solat hormat waktu.
Pada
asalnya solat ini bermaksud wujudnya kecacatan syarat yang tidak mencukupi.
Antaranya, tidak boleh berwuduk dan tayamum sama ada ketiadaan kedua-duanya atau
keuzuran, sedangkan waktu solat masih ada ketika itu.
Menurut
jumhur ulama, seseorang wajib solat dan wajib mengulanginya mengikut mazhab
Hanafi dan Syafie. Mazhab Hanbali pula menganggap tidak wajib mengulanginya.
Sedangkan mazhab Maliki mengikut pendapat yang muktamad, solatnya gugur.
Dr.
Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (الفقه الإسلامي وأدلته) menjelaskan
hal ini berdasarkan mazhab yang empat:
Mazhab
Hanafi
Pendapat
yang difatwakan oleh mazhab ini berdasarkan pendapat Abu Yusuf dan Muhammad
al-Hasan, iaitu orang yang tidak mempunyai dua alat penyuci wajib melakukan
perbuatan yang menyerupai orang bersolat. Dia hendaklah rukuk dan sujud jika
terdapat tempat yang kering.
Dia
tidak boleh membuat isyarat secara berdiri, tidak boleh membaca dan tidak boleh
berniat. Dia hendaklah mengulangi solat jika mendapat air atau tanah.
Bagi
orang yang terputus dua tangan dan dua kakinya, jika ada luka di mukanya, maka
dia boleh solat tanpa taharah dan tidak perlu tayamum. Mengikut pendapat yang
paling asah, dia tidak perlu mengulangi solatnya.
Orang
yang terperangkap (dipenjara) apabila solat dengan tayamum hendaklah mengulang
solatnya jika dia orang mukim (bukan musafir). Ini kerana dalam kes seperti
ini, tiada darurat kerana air mudah diperolehi di tempat sendiri. Ini berlainan
dengan musafir di mana pada kebiasaan ketiadaan air, maka dia tidak perlu
mengulang solatnya.
Mazhab
Maliki
Berdasarkan
pendapat yang muktamad dalam mazhab ini, seseorang yang tidak ada air dan tanah
atau hilang keupayaan menggunakan kedua-duanya seperti orang yang dipaksa atau
yang diikat, maka gugur solat daripadanya sama ada tunai ataupun qada.
Kedudukannya
sama seperti perempuan yang haid. Ini kerana air dan tanah menjadi syarat wajib
kepada pelaksanaan solat, sedangkan dalam kes ini, syarat itu tiada.
Syarat
wajib qada pula bergantung kepada tanggungan melaksanakan secara tunai sedang
tanggungan melaksanakan secara tunai itu tidak diperintahkan.
Mazhab
Syafie
Menurut
ulama Syafie, orang yang tidak mempunyai air dan tanah hendaklah solat yang
fardu sahaja. Solat itu hendaklah dilakukan menurut keadaannya, iaitu dengan
niat dan membaca sahaja sebagai tanda menghormati waktu.
Dia
tidak boleh solat sunat. Tetapi solat yang dilakukan itu hendaklah diulangi
apabila air atau tanah sudah boleh didapati.
Kerana
keuzuran ini jarang berlaku, oleh itu, hukumnya tidak boleh berkekalan. Lagipun
ketidakupayaan bersuci yang menjadi salah satu syarat solat tidak bermakna
boleh meninggalkan solat seperti menutup aurat, menghilangkan najis, menghadap
kiblat, berdiri dalam solat dan membaca.
Orang
yang bernajis di badannya di mana dia tidak berupaya membasuh kerana takut
sakit dan juga orang yang tertahan sehingga tidak dapat mengerjakan solat
adalah sama hukumnya dengan orang yang tidak mempunyai air dan tanah. Mereka
hanya perlu solat fardu sahaja. Namun, orang yang berjunub hanya perlu membaca
al-fatihah sahaja.
Pendapat
paling kuat menurut ulama Syafie adalah solat dilakukan seperti biasa dan
hendaklah diulang jika air sudah boleh didapati kerana tiada nas yang jelas
menyatakan hukum solat orang seperti ini.
Mazhab
Hanbali
Orang
yang tidak mempunyai air dan debu tanah hendaklah solat fardu sahaja. Solat itu
wajib dilakukan mengikut keadaan.
Kelemahan
tentang syarat tidaklah menjadi alasan untuk ditinggalkan apa yang disyaratkan.
Kedudukannya sama seperti seorang yang tidak berupaya menutup aurat dan tidak
mampu menghadap kiblat. Ertinya, pendapat mereka samalah seperti pendapat ulama
Syafie. Mereka berpendapat bahawa solat itu tidak perlu diulang.
Seseorang
yang solat dalam keadaan tidak mempunyai air dan debu tanah tidak boleh
menambah lebih daripada bacaan atau perbuatan yang mengesahkan solat sahaja.
Dia
hendaklah membaca al-Fatihah sahaja, bertasbih sekali sahaja, memendekkan
tama'ninah, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, tasyahud awal dan akhir
setakat yang menjadi syarat sahaja. Kemudian terus memberi salam.
Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 28/9/2011.