Persoalan
Agama: Perlu Tunai Haji Sebelum Lakukan Untuk Orang Lain
Soalan:
BAGAIMANA
hendak melaksanakan upah haji ibu yang meninggal dunia sedangkan saya sendiri
baru hendak menunaikan ibadat itu buat kali pertama. Bolehkah dilaksanakan dua
niat haji, untuk saya dan ibu pada satu musim haji. Mana yang lebih baik, haji
untuk ibu dilakukan oleh anak lelaki atau anak perempuan. Arwah ibu pernah
berpesan ditunaikan haji buatnya jika dia meninggal dunia dan tidak sempat
melaksanakan ibadat itu.
Jawapan:
Alhamdulillah
wassolatu wassalam ala rasulillah wabad. Allah SWT berfirman: Dan sempurnakan
ibadat haji dan umrah kerana Allah.
Haji
satu daripada lima Rukun Islam yang wajib dilaksanakan bagi mereka yang cukup
syarat. Majoriti ulama (kecuali mazhab Malik) membenarkan tunai haji buat ibu
bapa atau orang lain jika orang yang hendak dilaksanakan upah haji dalam
keadaan uzur atau meninggal dunia.
Mazhab
Imam Malik hanya membenarkan upah haji orang yang meninggal dunia kalau ada
wasiat. Itupun dilakukan dengan menggunakan perbelanjaan daripada harta yang
ditinggalkannya tidak melebihi sepertiga. Selanjutnya, walaupun dinilai sah,
pada masa sama perkara ini dinilai mazhab itu sebagai makruh.
Pandangan
ini berbeza dengan Imam as-Syafii yang mewajibkan seorang waris menghajikan
orang yang meninggal dunia dan membayar hutangnya daripada harta yang
ditinggalkannya. Memang tidak menjadi kewajipan sekiranya orang yang
bersangkutan itu tidak meninggalkan harta warisan, tetapi sah dia dihajikan
oleh sesiapa pun walaupun si mati tidak berpesan. Demikianlah pandangan Imam
as-Syafii.
Satu
syarat bagi orang yang menghajikan orang lain adalah dia sendiri sudah
menunaikan ibadat haji. Berbalik kepada pertanyaan dan kes yang ditanyakan,
dapat dikemukakan bahawa ulama sepakat boleh menghajikan ibu bapa yang berpesan
atau berwasiat.
Cuma
yang menjadi masalah di sini, orang yang bertanya belum lagi menunaikan ibadat
haji untuk dirinya sendiri. Hanya Imam Abu Hanifah membolehkan, tetapi tidak
sepenuh hati dengan alasan kebenaran itu sangat lemah.
Nabi
Muhammad SAW pernah menegur seseorang yang menghajikan orang lain bernama
Syibrimah. Baginda bertanya kepadanya: Adakah engkau sudah melaksanakan ibadat
haji untuk dirimu? Dia menjawab, belum. Nabi SAW pun bersabda, berhajilah untuk
dirimu dulu, barulah untuk Syibrimah.
Atas
dasar ini, tidaklah dibenar melaksanakan haji untuk diri dan orang lain dalam
satu musim haji.
Soalan
seterusnya, siapa yang lebih afdal untuk menghajikan ibu bapa, anak lelaki atau
anak perempuan. Menurut hemat saya, sama saja sekiranya kedua-duanya memenuhi
syarat. Wallahualam.
Sumber: Berita Harian. Ahad. 9/10/2011.