Panduan
Ibadah Ketika Bermusafir
Soalan:
BAGAIMANAKAH
musafir mengikut cara Islam? Soalan kedua, apakah ada sebarang doa khusus untuk
kereta baru?
Jawapan:
Apabila
seseorang mula hendak musafir, disunatkan untuk ia bertakbir sebanyak tiga kali
dan membaca doa berikut: “Subhanallazi sakhkhara lana haza wa ma kunna
muqriniin wa inna ila rabbina lamunqalibun. Allahumma inna nas’aluka fi
safarina hazal birra wattaqwa waminal ‘amali ma tardho. Allahumma hawwin
‘alaina safarana haza watwi ‘anna bu’dah. Allahumma antas sohibu fis safari wal
khalifatu fil ahli. Allhuamma inni a’uzu bika min wa’thais safari wa kaabatil
manzhori wa suuil munqalabi fil mali wal ahli. (Maksudnya: Maha suci Tuhan yang
telah menundukkan semua ini bagi kami padahal kami sebelumnya tidak mampu
menguasainya, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami.
Wahai
Allah sesungguhnya kami memohon kepada-Mu kebaikan, ketakwaan dan amal yang
Engkau reda dalam musafir kami ini. Wahai Tuhan permudahkanlah segala urusan
kami dalam musafir kami ini dan singkatkan kejauhan jarak musafir ini kepada
kami. Wahai Allah, Engkaulah adalah teman dalam musafir dan pengganti bagi
keluarga yang kami tinggalkan. Wahai Allah sesungguhnya saya berlindung diri
kepada-Mu dari kesukaran dalam musafir, pemandangan yang menyedihkan dan
buruknya kembali baik bagi harta mahupun keluarga kami).
Ketika
selesai urusan dan hendak pulang, maka ucapkanla: “Aa’ibuuna taa’ibuna ‘abiduna
lirabbina hamidun. (Maksudnya: Kami kembali dari perjalanan, bertaubat dari
dosa kami, beribadat dan memuji Tuhan kami).
Apabila
urusan sudah selesai, sunat untuk dia segera pulang sebagai mana hadis yang
diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Musafir itu adalah sebahagian daripada azab yang mana
seseorang itu hendaklah mengurangi makan, minum dan tidurnya. Oleh kerana itu,
apabila salah seorang kamu sudah selesai urusannya dalam musafir, maka
hendaklah ia segera kembali kepada keluarganya.
Apabila
seseorang itu berhenti pada satu-satu tempat, maka hendaklah dia berdoa sebagai
mana hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, nescaya dia tidak akan diganggu
sehingga ia meninggalkan tempat berkenaan. Doanya iaitu: “A’uzu bi
kalimaatillahit-taam-mati min syarrima khalaq (Maksudnya: Saya berlindung diri
dengan kalimah Allah yang sempurna daripada kejahatan yang Ia ciptakan).
Orang
musafir diberi keringanan dalam melaksanakan solat fardu iaitu solat yang empat
rakaat dapat diqasarkan (dipendekkan) menjadi dua serta dibolehkan untuk
menghimpun (menjamak) solat Zuhur dengan solat Asar dan Solat Maghrib dengan
solat Isyak.
Perkara
itu disebabkan mereka dalam keadaan azab iaitu hilangnya ketenangan dan
kerehatan.
Apabila
seseorang dalam musafir dan menjelang waktu malam, maka hendaklah ia berdoa
seperti diajar Nabi SAW iaitu: “Ya Ardhu rabbi wa rabbikillah, a’uzu billahi
min syarriki wa syarri mafiki wa syarri ma khuliqa fiki wa syarri ma yadibbu
‘alaiki, wa ‘auzubiki min syarri asadin wa aswada waminal hayyati wal ‘aqrabi
wa min sakinilbaladi wamin waalidin wama walada (yang bermaksud: “Wahai bumi,
Tuhanmu adalah Allah, saya berlindung diri kepada Allah daripada kejahatanmu
wahai bumi, kejahatan yang berada di perutmu, kejahatan makhluk yang berada di
perutmu dan kejahatan binatang yang melata di atasmu. Saya berlindung diri
denganmu dari kejahatan binatang buas, manusia, ular, kala jengking, segala
macam binatang, serta dari Iblis dan syaitan).
Apabila
seseorang baru datang dari musafir, disunatkan ia terus ke masjid dan solat
sunat dua rakaat seperti yang disebut dalam sebuah hadis daripada Ka’ab bin
Malik ra – Bahawasanya apabila Baginda datang daripada musafir, Baginda SAW
terus ke masjid dan solat dua rakaat di dalamnya.
Kalangan
perempuan tidak dibenarkan musafir kecuali bersama mahramnya seperti yang
dijelaskan dalam sebuah hadis iaitu: “Tidaklah halal bagi seorang perempuan
yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk musafir yang memakan masa
sehari semalam kecuali bersama mahramnya.”
Disunatkan
juga untuk memulakan perjalanan pada hari Khamis dan dilarang untuk musafir
sekiranya bersendirian. Demikianlah antara adabnya, Wallahua’lam.
Bagi
soalan kedua, Allah SWT berfirman dalam surah az–Zukhruf ayat 13 yang
bermaksud: “Dan Dialah (Allah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai
jenisnya, dan Ia mengadakan bagi kamu kapal dan binatang ternak yang kamu dapat
menggunakannya (bagi tujuan pengangkutan). Dan supaya kamu duduk tetap di
atasnya serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan “Maha Suci Tuhan yang sudah
memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya
menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!”
Dalam
sebuah hadis riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu membeli
unta, maka hendaklah kamu memegang bonggol unta dan ucapkanlah:
“Allahuamma
Inni As’aluka min Khairiha wa khairi ma jabaltaha ‘alaihi wa a’uzhu bika min
syarriha wa syarri ma jabaltaha ‘alaihi. (Maksudnya: Ya Allah! Daku memohon
kepada-Mu kebaikannya dan keberkatan. Daku memohon diri kepada-mu dari
keburukan kenderaan ini dan keburukan tabiatnya).
Sumber: Berita Harian. Jumaat. 5/8/2011.