Soalan:
Ada orang
berkata bahawa niat dalam solat diucapkan sewaktu takbiratul ihram. Ada juga
yang menyatakan bahawa niat diucapkan sebelum takbiratul ihram, mana yang
betul. Kedua, saya bekerja di atas kapal terbang. Kemusykilan saya, bolehkah
saya melakukan solat di atas kapal terbang.
Hamba Allah,
Kulim, Kedah.
Jawapan:
Alhamdulillah
wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. Niat adalah membulatkan hati untuk
melakukan ibadat guna mendekatkan diri kepada Allah semata-mata. Inilah hakikat
niat dan padanya terkandung keikhlasan. Sebenarnya membulatkan hati atau
berniat ini dapat juga dipenuhi walaupun tidak diucapkan. Niat tempatnya
dihati.
Ulama bersepakat
bahawa niat dalam solat hukumnya wajib berdasarkan firman Allah SWT dalam surah
al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud: “Padahal mereka tidak diperintah kecuali
beribadah kepada Allah dalam keadaan ikhlas memurnikan ketaatan kepada-Nya..”
(Ada juga memahami sabda Nabi ini dalam erti “sesungguhnya syarat kesempurnaan
amal adalah adanya niat”).
Menurut Mazhab
Hanafi dan Hambali serta pandangan majoriti ulama bermazhab Maliki, niat solat
adalah syarat iaitu dalam pengertian ‘tidak termasuk sebahagian daripada
solat’. Sementara itu, dalam Mazhab Syafie dan sebahagian ulama Mazhab Maliki
menyebut bahawa niat solat wajib dipenuhi dalam solat iaitu pada awal solat.
Kerana itu, mereka meletakkannya sebagai rukun. Mazhab Abu Hanifah mensyaratkan
bersambungnya niat dengan takbiratul ihram.
Selain aktiviti
berkenaan dengan solat, tidak boleh ada sesuatu pun yang memisahkan niat dengan
takbir itu. Contohnya makan, minum dan sebagainya. Jika yang memisahkannya
adalah amalan solat seperti berwuduk atau berjalan menuju masjid, maka niat
solat yang dilakukan sebelum berwuduk dan pergi ke masjid itu masih berlaku dan
orang yang bersangkutan itu dapat mengerjakan solat dengan mengucapkan takbir
meskipun ketika itu dia tidak berniat lagi.
Di sini kita
dapat lihat bahawa mazhab ini tidak mewajibkan niat bersama dengan takbir.
Mereka beralasan bahawa menyatukan niat dengan takbir sesuatu yang menyukarkan.
Sedangkan Allah SWT berfirman dalam surah al-Haj ayat 78 yang bermaksud: “...
Dia (Allah) tidak menjadikan atas kamu dalam urusan agama sedikit pun
kesukaran...” Mereka juga beralasan bahawa awal solat adalah sebahagian daripada
solat. Mazhab Maliki mewajibkan orang yang solat untuk menghadirkan niatnya
ketika saat takbiratul ihram atau sesaat singkat sebelumnya.
Sementara itu,
ulama bermazhab Syafii mewajibkan niat bersama dengan aktiviti solat iaitu
ketika takbiratul ihram. Sebab yang disebut dengan niat mestilah disertakan
dengan aktiviti. Jika niat itu dihadirkan sebelum aktiviti, maka ia bukanlah
niat tetapi azam atau tekad. Padahal yang dituntut adalah niat.
Bagi soalan
kedua, ulama berbeza pandangan mengenai masalah ini. Apakah boleh untuk
melaksanakan solat dalam penerbangan atau keadaan ini dikiaskan dengan solat di
atas perahu? Sebahagian ulama menyamakan hukumnya dengan solat di atas perahu.
Dengan ini, kita dapat melaksanakan solat di atas kapal terbang sehingga kita
tidak mensia-siakan waktu.
Namun pendapat
terkuat dalam Mazhab Syafie adalah kita tidak boleh melaksanakan solat di atas
kapal terbang. Apabila kita solat di atas kapal terbang untuk menghargai waktu,
maka kita hendaklah mengulanginya kembali ketika mendarat.
Hujah mereka
iaitu menetap adalah syarat sah solat. Begitu juga dengan menghadap kiblat.
Menghadap kiblat adalah masalah yang diperdebatkan dalam hal ini. Kita tidak
akan mungkin menghadap kiblat ketika berada di dalam kapal terbang. Demikianlah,
wallahua’lam.
Sumber: Berita
Harian.
0 comments