Pada tahun ke-10
Hijrah, Rasulullah SAW mengisytiharkan untuk menunaikan fardu haji dan
memerintahkan kaum membuat persiapan untuk menunaikannya.
Setelah
tersebarnya berita tersebut maka berpusu-pusulah umat Islam dari seluruh
pelusuk Semenanjung Tanah Arab datang berhimpun ke Madinah untuk turut sama
mengerjakan ibadat haji bersama Rasulullah SAW.
Mereka terlalu
ghairah menantikan saat untuk sama-sama melihat dan mencontohi cara Rasulullah SAW
menunaikan haji kerana Baginda adalah sebaik-baik contoh. Khemah-khemah
dipasang di sekitar Kota Madinah untuk seratus ribu orang yang bertandang
sambil menantikan saat keberangkatan ke Kota Makkah.
Pada 25
Zulkaedah Tahun 10 Hijrah saat yang dinanti-nantikan pun tiba. Rasulullah SAW dengan
isteri-isteri Baginda, memulakan perjalanan yang annat bersejarah itu yang
diikuti oleh 90,000 hingga 120,000 orang para sahabat. Mereka berangkat dengan
penuh semangat, keimanan dan keikhlasan menuju ke Baitullah di bawah pinnpinan
manusia teragung Muhammad SAW.
Setibanya di
Zulhulaifah (Bir Ali), rombongan tersebut berhenti dan bermalam di sana.
Keesokannya mereka memakai pakaian ihram dan memulakan perjalanan menuju ke Baitullah
di Makkah dengan laungan talbiah (تلبية) yang penuh semangat. Laungan talbiah
daripada ratuan ribu umat Islam bergema membelah lembah dan bukit-bukau di
sepanjang jalan menuju ke Makkah. Apabila mereka berhenti di setiap
persinggahan untuk solat atau berehat mereka mengumandangkan talbiah sebagai
tanda ketaatan dan kesyukuran kepada Allah SWT.
Pada hari ke-4
Zulhijjah, rombongan tersebut tiba di Makkah. Rasulullah SAW mengetuai umat
Islam menuju ke Kaabah. Rasulullah SAW istilam (استلام) (menyentuh dengan tangan atau perantara lain
seperti tongkat) Hajarul Aswad dan mengucupnya, lalu mengerjakan tawaf
mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh (7) pusingan, tiga (3) pusingan yang pertama
dengan berlari-lari anak. Setelah melakukan solat sunat tawaf dua (2) rakaat di
belakang Maqam Ibrahim), Baginda menuju kembali ke Kaabah dan mengucup Hajarul
Aswad sekali lagi. Seterusnya Baginda menuju ke Bukit Safa untuk melakukan sa’ie
di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah.
Pada hari
Tarwiyah iaitu 8 Zulhijjah, Rasulullah SAW mengetuai rombongan haji menuju ke
Mina. Rasulullah berada selama sehari di Mina dan menunaikan solat Zohor, Asar,
Maghrib, Isya’ dan Subuh di sana. Selesai sahaja solat Subuh pada hari ke-9
Zulhijjah, ketika matahari sedang memancarkan cahayanya pada waktu Duha,
Baginda bersama rombongan memulakan perjalanan menuju ke Arafah dengan
menunggang untanya al-Qaswa’. Ratusan ribu umat Islam mengikut Baginda
sehinggalah sampai ke Arafah. Di Namirah, di timur Arafah, khemah telah siap
didirikan untuk Baginda.
Apabila mulai gelincir
matahari (masuk waktu Zohor), Rasulullah dan kaum muslimin berhimpun di Wadi ‘Uranah
(berhampiran Arafah) seterusnya nnenyampaikan khutbah, yang dikenali dengan
Khutbah Perpisahan. Setelah selesai menyampaikan khutbah, Rasulullah menyuruh
Bilal bin Rabah melaungkan Azan dan Iqamah.
Rasulullah SAW bersama
kaum muslimin menunaikan Solat Zohor dan Asar secara Jama’ dan Qasar dalam
waktu Zohor. Selesai sahaja solat Baginda pun segera menunggang untanya menuju
ke kaki bukit Jabal Rahmah untuk berwuquf. Pada waktu itulah Rasulullah
membacakan firman Allah SWT:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ
وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا
Maksudnya:
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu Agamamu, dan telah Aku cukupkan
kepadamu nikmatKu dan telah Aku redhai Islam itu sebagai Agama bagimu”.
[al-
Ma’idah: ayat 3]
Mendengar ayat
yang dibaca, Saidina Abu Bakar terus menangis, kerana merasa bahawa risalah
Islam yang dibawakan oleh Nabi Muhammad telah selesai dan hampir tiba saat perpisahan
dengan Baginda yang akan mengadap Allah SWT.
Setelah selesai
menyampaikan ayat tersebut, Rasulullah SAW duduk berwuquf mengadap kiblat
sehingga waktu Maghrib. Kemudian Rasulullah SAW meneruskan perjalanan menuju ke
Muzdalifah. Tiba di Muzdalifah, Rasulullah SAW menunaikan solat Maghrib dan
Isya’ secara Jamak dan Qasar dalam waktu Isya’.
Selesai sahaja
solat, Baginda berbaring hingga terbit fajar lalu menunaikan solat Subuh.
Selepas itu Baginda meneruskan perjalanan menuju ke Masya’r Haram dan Baginda
berhenti mengadap ke arah kiblat, berdoa mengagungkan Allah serta
mentauhidkan-Nya.
Baginda
Rasulullah berangkat menuju ke Jamrah Kubra di Mina lalu melontar dengan tujuh
biji anak batu. Setelah itu, Rasulullah SAW kembali ke khemah, dan di sana
Baginda telah menyembelih 63 ekor unta, setiap seekor untuk satu tahun umurnya
dan baki daripada 12 jumlah 100 ekor unta yang dibawa dari Madinah dan Yaman
disembelih oleh Saidina Ali. Rasulullah menyuruh Saidina Ali untuk mengambil
sepotong daging dari setiap unta tersebut lalu dimasak, maka Baginda dan
Saidina Ali memakan dan menghirup kuahnya. Kemudian Rasulullah SAW bercukur.
Selepas itu,
Rasulullah SAW berangkat ke Makkah menuju Baitullah untuk mengerjakan Tawaf
Rukun dan solat Zohor di sana. Selesai sahaja solat, Rasulullah SAW pun meminum
air Zamzam. Kemudian Rasulullah SAW kembali semula ke Mina untuk melontar
Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra pada hari-hari Tasyriq (هاري تشريق) iaitu 11, 12 dan 13
Zulhijjah serta mabit (مبيت) di sana sehinggalah selesai kerja
melontar dilakukan.
Sebelum
Rasulullah dan ratusan umat Islam meninggalkan Makkah mereka mengerjakan Tawaf
Wada’ sebagai tanda perpisahan dan penghormatan kepada Baitullah.
Dengan Tawaf
Wada’ tadi, maka selesailah peristiwa bersejarah yang dilalui oleh ratusan ribu
umat Islam. Selepas itu mereka mulai berangkat pulang ke kampung halaman
masing-nnasing. Rasulullah SAW dan para sahabat berangkat menuju ke Madinah.
Tidak lama selepas peristiwa itu, Rasulullah SAW pun wafat menemui Allah SWT.
0 comments