PETALING JAYA 24 Sept. | Seorang ejen pelancongan bersama anak
perempuan dan menantunya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas
pertuduhan menipu dua orang mutawwif bagi pakej umrah melibatkan kerugian lebih
RM100,000 awal tahun ini.
Rohaya Asmuni, 52, yang merupakan pengusaha
syarikat Arlief Juara Kembara Sdn. Bhd.; Nurul Azrikin Azman, 31; dan suami
Nurul Azrikin, Muhammad Alif Haziq Aman, 23, mengaku tidak bersalah terhadap
kedua-dua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa kepada mereka di hadapan
Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid.
Mereka didakwa bersama-sama menipu Mohd. Yatim
Abu Idras, 57, yang merupakan ejen pengurusan pakej umrah kepada 19 orang untuk
menyerahkan wang RM79,550 kepada mereka sedangkan pakej tersebut tidak wujud.
Perbuatan itu didakwa berlaku di pejabat
tertuduh di syarikat Arlief Juara Kembara Sdn. Bhd. di No. 55-3, Jalan PJU
5/20E, The Strand Damansara, Kota Damansara antara 13 Januari dan 22 Mei lalu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka bertiga bersama-sama
didakwa melakukan perbuatan yang sama terhadap Umi Ngah Loden, 56, untuk
menyerahkan wang RM20,500, berupa pakej umrah bagi lima peserta di tempat yang
sama pada 6 April lalu.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut
Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10
tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aifaa Che Abdullah
yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin
RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Peguam Maanor Yusoff yang mewakili kesemua
tertuduh memohon agar jumlah itu dikurangkan kerana syarikat pengurusan umrah
yang dikendalikan oleh anak guamnya itu tidak lagi beroperasi.
0 comments