Hasrat Ke Baitullah Bersama Anak Tercapai Selepas 10 Tahun
Mulutnya tidak lekang menyebut, pendapatan mereka suami isteri tidak banyak disebabkan hanya menjawat jawatan rendah dalam kerajaan.
Bagaimanapun, telus hati pembantu pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara, Kalthum Said, 57, berkongsi cita-citanya dan suami, Fajaruddin Abdul Rahman, 62, pesara penjilid buku dari jabatan sama iaitu untuk bersama-sama mengerjakan haji bersama kedua anak mereka, Alif ,27, dan Salina Fajaruddin, 19, cukup mengesankan.
Niat yang baik akan dipermudahkan Allah dan kedua mereka antara insan yang bertuah kerana sekali lagi dijemput menjadi tetamu Allah selepas kunjungan haji pertama mereka pada 2003. Istimewanya kunjungan kali ini, mereka ditemani Alif dan Salina.
Cerita Kalthum yang ditemui sewaktu majlis doa selamat di kediaman mereka sebelum menaiki penerbangan KT 15 minggu lalu, 10 tahun lalu sewaktu tiba di Mina, mereka melihat ada keluarga yang membawa anak mengerjakan haji.
“Suami yang seronok malah berterusan menyebut perkara sama bila terlihat jemaah bersama anak.
“Keinginan itu tidak setakat itu saja kerana sejurus kembali, kami tidak mengambil masa lama untuk mendaftar nama kami sekeluarga di Lembaga Tabung Haji (TH),” katanya lembut.
Benar kata orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Seperti kata Kalthum, waktu mendaftar kali kedua, belum ada pengurangan kuota jemaah seperti sekarang.
“Jadi, waktu daftar sekitar 2005, pihak TH terus cetak penyata, mengatakan giliran kami empat beranak adalah pada 2013. Semuanya mudah dan lancar, jadi kami anggap ini sebagai rezeki dari Allah SWT,” katanya.
Berkat Rezeki
“Gaji tidak besar tapi cita-cita untuk Makkah ada, jadi, secara tidak langsung kita akan mencuba untuk merealisasikan impian itu.
“Lagipun, saya sendiri sudah merasainya. Bila sudah ke Makkah, rezeki berkat. Ia tidak boleh digambarkan tapi kita sendiri dapat rasa.
“Bukan bila kata berkat, wang itu sentiasa banyak tapi Allah permudahkan dengan cara lain misalnya kesihatan yang baik, kereta tidak meragam dan pelbagai lagi yang kita tidak sangka,” kata Kalthum yang membiayai wang tabungan TH kedua anaknya hasil simpanan mereka suami isteri.
Malahan, kerana terhutang budi kepada abang iparnya yang menjaga beliau sewaktu kecil, Kalthum turut memenuhkan akaun TH kakak dan abang iparnya itu.
“Abang ipar saya sudah tua, umur 77 tahun tapi sayangnya, belum rezeki mereka untuk ke sana. Jadi, tahun ini hanya kami empat beranak saja yang pergi dulu,” katanya.
Selesa menjadi jurucakap berbanding suami yang leka melayan tetamu yang menziarah, kata Kalthum, beliau menyimpan dalam akaun TH melalui potongan gaji.
“Jumlahnya tidak banyak, hanya RM20 sebulan dan ia saya lakukan sejurus mula berkhidmat dulu.
“Tidak hanya itu, asal ada wang selonggok, saya terus simpan misalnya wang bonus, langsung kami tidak usik dan duit hasil main kutu. Apabila pakcik pencen, terus kami penuhkan duit dalam akaun untuk anak juga,” katanya.
Tangguh Pengajian
Sementara itu, Salina sewaktu ditemui kelihatan seperti tidak percaya bakal bergelar hajah pada usia muda.
“Seronok tapi saya tak sangka tapi hati memang tidak sabar hendak menjejakkan kaki ke Tanah Haram kerana sebelum ini saya hanya mendengar cerita mak abah saja,” katanya.
Demi untuk tidak mensia-siakan peluang yang ada, pelajar tahun satu jurusan perniagaan, Kolej Politeknik Mara, Bangi itu sanggup menangguhkan pengajian satu semester, tahun ini.
“Saya bakal berada di sana selama 46 hari dan kebetulan peperiksaan akhir adalah pada Oktober dan sebelum ke Makkah juga saya perlu menghadiri kursus dan kelas bagi jemaah, jadi, jalan terbaik adalah menangguhkan pengajian dulu untuk satu semester,” katanya.
Sebelum meminta diri menyambut kunjungan tetamu, beliau sempat berkongsi niatnya yang ingin memohon doa supaya diberikan rezeki untuk lulus cemerlang dalam pelajaran dan seterusnya ditawarkan melanjutkan pengajian di universiti terbaik.
Abangnya, Alif, yang bertugas di Syabas sebagai Eksekutif Kesihatan dan Keselamatan Alam Sekitar, berkata beliau rasa benar-benar beruntung kerana dapat mengerjakan haji pada usia muda.
“Abah sendiri ada beritahu, dia berdoa supaya dapat bawa kami ke sana dan alhamdulillah, doanya dimakbulkan Allah.
“Saya gembira dan bersyukur kerana haji pertama ini adalah bersama ibu, ayah dan adik. Peluang ini tidak semua dapat merasainya,” katanya.
Bagaimanapun, kata Alif, beliau sedikit ralat kerana kesibukan tugas di hari biasa sementara hari minggu pula perlu menghadiri kelas, menyebabkan tidak dapat menghadiri kursus haji sepenuhnya.
“Saya cuma belajar melalui internet. Saya tahu, kedua ibu bapa akan banyak membantu dan doakan, semoga perjalanan haji kami ini dipermudahkan dan seterusnya mendapat haji mabrur,” katanya menerusi perbualan WhatsApp ketika berada di Lembaga Tabung Haji, Kelana Jaya beberapa jam sebelum terbang ke Madinah.
0 comments