Mekah Catat Perceraian Tertinggi di Arab Saudi

RIYADH 9 Mei - Rangkaian media sosial seperti Facebook dan WhatsApp dilapor memainkan peranan besar dalam peningkatan kes perceraian di Arab Saudi dengan lebih 30,000 kes cerai direkodkan setiap tahun atau 82 kes pada setiap hari.

Kementerian Kehakiman berkata, sebanyak 33,954 kes cerai dicatat pada 2014 dengan Mekah mencatat kes tertinggi dengan 9,954 kes diikuti Jeddah dengan 5,306 kes.

Seorang penyelidik Arab Saudi, Fadhil Al-Omani berkata, dia mengenal pasti 10 sebab utama peningkatan kadar cerai di negara ini termasuk penyalahgunaan Internet dan media sosial yang menimbulkan kecurigaan, khususnya dalam kalangan pasangan yang baru berkahwin.

Sebab lain termasuklah kurangnya persefahaman antara pasangan, perbezaan budaya dan pendidikan, hubungan sulit dan kecuaian isteri dan suami dalam menjalankan tugas masing-masing, di tambah dengan masalah kewangan dan keluarga.

Seorang perunding keluarga, Dr. Musfir Al-Malees berkata, laman rangkaian sosial menyumbang sekurang-kurangnya 25 peratus kepada kes cerai di Arab Saudi, lapor Arab News.

Menurut satu tinjuaan tentang perkahwinan, sebanyak 20 peratus kes cerai berlaku akibat hubungan sulit yang didedahkan menerusi pertukaran mesej dan gambar dalam media sosial.

Sementara itu, penganalisis Arab Saudi, Badr Almotawa berkata, kerajaan dan institusi sosial memandang serius isu itu dan buat masa ini, Majlis Syura sedang membincangkan kertas cadangan yang memerlukan pasangan baru berkahwin perlu menjalani kursus latihan khas sebelum berkahwin.

"Perkara ini penting bagi mengurangkan kadar perceraian yang merupakan satu isu serius (di Arab Saudi), dan kesemua pihak perlu berganding bahu membantu mengurangkan kadar perceraian itu,’’ katanya.

0 comments