IMAMS Akur Arahan Kerajaan Batalkan Perkhidmatan

KUALA LUMPUR | Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS) akur dengan keputusan kerajaan memberhentikan perkhidmatan Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu (IMAMS) secara serta-merta pada 15 Disember lalu.

IMAMS dalam satu kenyataan berkata, Syarikat itu bagaimanapun akan terus memberi kerjasama kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta mana-mana pihak yang terbabit dalam memastikan transisi peralihan kesemua data dan sistem perjalanan umrah berlansung dengan baik dan lancar demi menjaga kepentingan jemaah Malaysia.

“IMAMS yang merupakan satu lonjakan transformasi dalam pengurusan kawal selia umrah di Malaysia adalah sebenarnya sistem terbaik buat masa ini bagi menangani isu-isu penipuan di sepanjang nilai rantaian pengendalian umrah dan memperkasakan aktiviti pemantauan, penyiasatan dan penguatkuasaan pengendalian pakej umrah yang berada di pasaran secara lebih sistematik dan teratur,” kata kenyataan itu hari ini.

IMAMS mendakwa, di samping dapat membantu agensi-agensi pelancongan memberikan perkhidmatan yang lebih efisien, IMAMS juga memberikan manafaat yang tinggi kepada para jemaah umrah kerana IMAMS merupakan satu sistem bersepadu dan satu saluran yang berfungsi 24jam.

Menurut IMAMS, sistem itu berkhidmat bagi menyelesaikan masalah penipuan secara khusus, samada dari segi urusan visa, jadual perjalanan semasa umrah, penginapan, perlindungan insurans dan sebagainya.

“IMAMS sudah pun membuktikan keberkesanannya melalui berberapa sesi percubaan bersama pihak kedutaan dan pengendali pakej umrah Malaysia.

“Malah Sistem IMAMS ini telah diperakui oleh Kedutaan Arab Saudi di Malaysia sebagai yang terbaik di dunia buat masa ini,” kata kenyataan itu lagi.

Sumber: Mynewshub

0 comments