Imams Batal Sebab Lain Dengan Apa Kabinet Bincang

Muktamad… Keputusan kerajaan batal serta-merta sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) bukan kerana ada bukan Muslim dalam syarikat dilantik untuk pelaksanaannya.
Malah tegas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz keputusan pembatalan terpaksa dibuat kerana ia agak berbeza dengan apa yang pernah dibincangkan di peringkat jemaah Kabinet.

“Tidak, tiada kaitan. Saya memutuskan untuk membatalkannya kerana tidak setuju dengan (jumlah caj) RM90 dan ia diumumkan sebagai wajib. Itu sahaja,” kata Nazri seperti dilaporkan portal tempatan.

Beliau memberi reaksi berkenaan apabila banyak pihak mempersoalkan keputusan pembatalan IMAMS ekoran isu orang bukan Islam sebagai ketua pegawai operasi Imams Sdn. Bhd., seperti dibangkitkan sesetengah pihak.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin semalam berkata beliau hanya diberitahu tentang perkara itu selepas mengadakan sidang media mengumumkan IMAMS pada Jumaat lalu.

Mas Ermieyati berkata, ia tidak sepatutnya berlaku dan telah segera menghubungi Nazri selepas mengesahkan perkara tersebut. Pembatalan itu turut disokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

Di bawah sistem itu, individu yang ingin menunaikan ibadah umrah dikenakan caj berjumlah RM90.10, iaitu RM45 untuk caj penggunaan IMAMS, RM40 (insurans takaful umrah_ dan RM5.10 (cukai barang dan perkhidmatan).

Sistem yang bertujuan menangani penipuan pakej umrah itu diwajibkan dalam proses permohonan visa umrah dan 65 agensi pelancongan berstatus muassasah yang ada Lesen Khas Umrah (LKU) diwajibkan menggunakannya.

“Apa yang diumumkan kepada orang ramai bukan seperti apa yang kami bincang dalam mesyuarat Kabinet dan pernah dijelaskan pada perbahasan Bajet 2018 peringkat jawatankuasa untuk kementerian di Parlimen.

“Caj yang dipersetujui adalah RM40, termasuk insurans, dan itupun hanya pilihan (bukan wajib). Ia bukan program kementerian tetapi inisiatif daripada sektor swasta, maka caj ini tidak boleh diwajibkan,” kata Nazri lagi.

Berikutan pembatalan itu, Mas Ermieyati semalam berkata kerajaan akan mengeluarkan mekanisme baharu lebih cekap dan “100 peratus dikendalikan Muslim” untuk menangani penipuan pakej umrah.

Langkah dramatik itu juga disokong banyak pihak setelah dibangkitkan Pergerakan Pemuda UMNO yang bantah pelaksanaan IMAMS sebagai membebankan bakal jemaah.

Sumber: Mynewshub

0 comments