Oleh
DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI
PENULIS
terpanggil untuk membuka ruang Bicara Haji yang akan menjelma tidak lama lagi
dengan mengemukakan sedikit falsafah haji.
Al-Jurjani
(الجرجاني) dalam al-Ta’rifat - التعريفات (216)
berkata: “Falsafah adalah menyerupakan dengan Tuhan mengikut kemampuan manusia
untuk menghasilkan kebahagiaan yang abadi, sebagaimana yang diperintah oleh
Rasulullah SAW yang bersifat benar.”
Ini
selaras dengan kenyataannya yang bermaksud: “Berakhlaklah kamu dengan akhlak
Allah SWT.”
Al-Jarjawi
dalam Hikmah al-Tasyri’ wa Falsafatuh (hal. 5) berkata, syariat samawi
bermatlamatkan empat perkara:
1. Makrifatullah
dengan mentauhidkan-Nya, memuji dan mensifatkan-Nya dengan sifat sempurna.
2.
Cara menunaikan ibadah yang mengagungkan dan mensyukuri nikmat-Nya.
3.
Menggesa perlaksanaan amar makruf dan nahi mungkar serta berakhlak dengan
akhlak yang mulia.
4.
Menghentikan segala pencabulan berdasarkan ketepatan hukum syarak.
Seterusnya,
perbincangan ini dimulakan dengan memahami tafsiran kalam Allah yang bermaksud:
(Masa
untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh
yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan)
ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat
maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan
apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah, dan hendaklah
kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu
ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah), dan bertakwalah kepada-Ku
wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).
(al-Baqarah: 197).
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ
فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلا رَفَثَ وَلا فُسُوقَ وَلا جِدَالَ فِي الْحَجِّ
وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ
التَّقْوَى وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الألْبَابِ (١٩٧)
Zahir
nas ini menjelaskan bahawa haji itu mempunyai waktu yang tertentu, iaitu pada
beberapa bulan tertentu iaitu Syawal, Zulkaedah dan 10 hari pertama Zulhijjah.
Berdasarkan
nas ini, tidak sah ihram dengan haji melainkan dalam bulan-bulan yang
ditentukan sahaja. Walaupun ada sesetengah mazhab mengatakan sah berihram
dengan haji di sepanjang tahun dan menentukan bulan-bulan yang tertentu ini
untuk menunaikan syiar-syiar haji pada masa-masanya yang termaklum.
Pendapat
yang akhir ini dipegang oleh Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad Ibn Hanbal.
Pendapat ini juga diriwayatkan dari Ibrahim al-Nakhaie, al-Thauri dan al-Laith
Ibn Saad.
Sementara
pendapat yang pertama pula dipegang oleh Imam al-Syafie. Pendapat ini juga
diriwayatkan dari Ibn Abbas, Jubair, Ata, Tawus dan Mujahid dan ia merupakan
pendapat yang azhar.
Firman
Allah SWT: Maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat,
dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji.
Makna
al-Rafath adalah perbuatan menyebut kata-kata persetubuhan dan kata-kata yang
mendorong ke arahnya sama ada secara umum atau di hadapan perempuan.
Makna
al-Jidal adalah perbuatan bertengkar atau berbalah yang menimbulkan kemarahan.
Makna al-Fusuq adalah melakukan maksiat sama ada besar atau kecil.
Larangan
ini bertujuan meninggalkan segala yang bertentangan dengan suasana sopan santun
terhadap Allah dan suasana penumpuan diri kepada Allah dalam masa ihram.
Ia
juga bertujuan meningkatkan diri daripada keinginan-keinginan bumi dan
melakukan latihan rohani supaya bergantung kepada Allah sahaja.
Beradab
sopan di rumah-Nya bagi sesiapa yang berkunjung kepada-Nya dengan diri yang
bersih dari segala-galanya hingga dari segala pakaian yang berjahit.
Larangan
Semasa Tunai Haji
Secara
tafsirnya, orang yang sedang mengerjakan haji itu dilarang mengerjakan
perkara-perkara berikut:
1.
Dilarang mencampuri isterinya sebelum tahallul awal, kerana yang demikian itu
akan merosakkan hajinya. Orang yang berbuat demikian akan dikenakan denda
(kaffarah), iaitu menyembelih seekor unta dan mesti meneruskan pekerjaan
hajinya, kemudian mengqada hajinya pada tahun hadapan.
2.
Dilarang melakukan maksiat. Melakukan maksiat dalam ayat ini bermaksud, segala
perbuatan yang terkeluar dari mentaati Allah. Juga diertikan, perkara-perkara
yang diharamkan pada masa berpakaian ihram, seperti membunuh buruan darat yang
tidak buas, mengerat kuku dan mencabut bulu atau rambut. Atau juga diertikan,
mengejek-ngejek orang dengan gelaran yang tidak baik.
3.
Dari Abu Hurairah katanya, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: "Barang siapa mengerjakan haji, tiada ia bersetubuh dan tiada
berbuat maksiat, kembalilah ia (bersih dari dosa), sebagaimana pada hari ia
dilahirkan oleh ibunya."
4.
Dilarang bertengkar, berjidal atau berdebat yang menyebabkan kemarahan antara
seseorang dengan yang lain. Perkara fusuq dan jidal dalam ayat ini adalah
ditegah di dalam sebarang masa. Tetapi, tersangat besar larangannya jika
dilakukan pada waktu mengerjakan haji kerana sangat buruknya dan tidak layak.
Takwa
adalah bekalan dan makanan hati dan jiwa. Dengan takwa, hati mendapat tenaga
dan kekuatannya, mencapai kesuburan dan kegemilangannya.
Takwa
adalah tempat pergantungan hati untuk sampai kepada Allah dan mencapai
keselamatan, dan mereka yang berakal merupakan orang yang pertama dapat
memahami bimbingan kepada takwa dan merekalah sebaik-baik orang yang mendapat
manfaat dari bekalan takwa ini.
Sebagai
penutup tafsiran ayat di atas, penulis menukilkan kisah kefahaman al-Junaid
tentang syiar haji melalui Mabadi’ al-Tasawuf al-Islami, oleh Sheikh Abdul
Hafiz Faraghli Ali al-Qarani (hal. 129-130). Iaitu seorang lelaki yang baru
menunaikan haji telah datang berjumpa dengan al-Junaid.
Lalu
al-Junaid bertanya kepada lelaki tersebut: “Adakah kamu meninggalkan semua
dosa-dosa kamu ketika meninggalkan rumah?” Jawab lelaki tersebut: “Tidak.” Kata
al-Junaid: “Sebenarnya, kamu tidak pergi mana-mana.”
Tanya
al-Junaid lagi: “Dan setiap tempat di mana kamu bermalam, adakah kamu berhenti
untuk Allah?” Jawab lelaki itu: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Kamu tidak
berhenti dari satu tempat ke satu tempat.”
Kemudian,
ditanya lagi: “Ketika kamu memakai ihram pada tempatnya, adakah kamu
meninggalkan sifat-sifat basyari (kemanusiaan), tatkala kamu menanggalkan baju
kamu?” Jawab lelaki itu: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Sebenarnya, kamu tidak
berihram.”
Ditanya
lagi: “Ketika wuquf di Arafah, adakah kamu berfikir tentang Allah walaupun
dalam satu saat?” Jawabnya: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Kamu tidak wuquf di
Arafah. Ketika kamu pergi ke Muzdalifah untuk menunaikan rukun-rukun kamu,
adakah kamu menolak semua hawa nafsu?”
Jawab
lelaki tersebut: “Tidak”. Berkata al-Junaid: “Kamu tidak menunaikannya di
Muzdalifah. Ketika kamu bertawaf di Baitullah, adakah kamu memahami keindahan
Ilahi di rumah suci itu?” Jawab lelaki itu: “Tidak.”
Berkata
al-Junaid: “Kamu tidak bertawaf di Baitullah. Dan ketika kamu bersaie antara
Safa dan Marwah, adakah kamu memahami apa itu al-Safa dan al-Muru’ah?” Jawab
lelaki tadi: “Tidak.”
Berkata
al-Junaid: “Kamu tidak bersaie.” Kemudian, ditanya lagi: “Ketika kamu sampai ke
tempat korban dan kamu berkorban, adakah kamu mengorbankan sebab-sebab
keseronokan dunia?”
Jawabnya
lagi: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Kamu tidak berkorban. Dan ketika kamu
melontar Jamrah, adakah kamu melontar juga pemikiran-pemikiran jasadmu?”
Jawab
lelaki tersebut: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Kamu tidak melontar Jamrah,
bahkan kamu tidak menunaikan haji.”
Inilah
contoh roh ibadat yang diamalkan oleh ahli sufi. Ia menunjukkan sejauh mana
mereka mempertingkatkan diri untuk sampai ke darjat yang tinggi dengan
menunaikan syiar-syiar agama, yang bertujuan beribadat kepada Allah.
Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 14/9/2011.