Pengurusan Haji Satu Warisan Amanah


Oleh SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN

HAMPIR setengah abad Tabung Haji (TH) mengorak langkah menguruskan hal ehwal haji di Malaysia mahupun di Arab Saudi.

Bermula dengan penubuhannya pada tahun 1963, TH meningkatkan keupayaannya dengan visi Tunggak Ekonomi Ummah dan Pengurusan Haji Terbilang. Mendepani cabaran yang semakin mencabar, TH mengambil pendekatan lebih strategik dalam menyerap kos kenaikan operasi haji.

Dalam menjayakan operasi haji, beberapa inisiatif telah diambil bagi menjamin kelancaran operasi dan meminimumkan kos.

Untuk mencapai tujuan ini, TH memperkenalkan prosedur standard yang diiktiraf oleh QAS International Sdn. Bhd. Prosedur ini dinamakan ISO 9001:2008 Pengurusan dan Operasi Perkhidmatan Haji di Malaysia dan di Arab Saudi.

Dalam menguruskan hal ehwal haji tentunya memerlukan kos yang agak tinggi. Kos haji umumnya terbahagi kepada dua iaitu kos langsung dan kos tidak langsung.

Kos langsung adalah kos yang ditanggung terus oleh jemaah haji bagi bayaran penginapan, penerbangan, pengangkutan, makanan dan bayaran pihak berwajib di Tanah Suci. Keseluruhan kos ini adalah RM14,340.

Walau bagaimanapun, jemaah haji kali pertama hanya membayar RM9,980 daripada kos sebenar. Jumlah kos langsung haji adalah hampir RM100 juta setahun.

Sementara itu, kos tidak langsung adalah kos menyediakan kursus-kursus haji, bahan-bahan bacaan, petugas, kemudahan kesihatan dan ubat-ubatan serta belanja operasi di tanah ir dan Tanah Suci. Kesemuanya hampir mencecah RM100 juta setahun.

Bagi menyerap kos haji yang kian meningkat, TH telah meningkatkan usaha menjana pendapatan haji dari pelaburan dan pembelian hartanah termasuk jual beli.

TH juga mengambil langkah mengadakan usahasama jangka panjang dengan syarikat penerbangan dan pemilik bangunan di Tanah suci sebagai usaha untuk menyerap kenaikan kos tersebut.

Ini merupakan di antara inisiatif TH menghadapi cabaran kenaikan kos yang agak ketara saban tahun.

Selain itu, TH turut menjalankan amanahnya dengan mempersiapkan jemaah haji dengan ilmu ibadat haji dan maklumat-maklumat terkini.

TH juga melaksanakan misinya dengan mendidik bakal haji ke arah ‘Model Untuk Semua’ sebagai umat contoh di mata dunia bertepatan dengan visi TH iaitu Pengurusan Haji Terbilang.

Tidak hairanlah jika Kerajaan Arab Saudi mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh TH di dalam menguruskan hal ehwal jemaah haji Malaysia.

Di samping itu, dalam menjayakan usaha kerajaan untuk transformasi negara (NKRA Kebangsaan) terutama dalam membasmi rasuah dan mengurangkan jenayah, TH memikul tanggungjawab membentuk generasi haji agar jemaah haji pulang dari menunaikan ibadat haji nanti menjadi insan soleh dan musleh.

Kepulangan jemaah haji ke tanah air juga amatlah diharapkan untuk menjadi contoh dan dapat membina jati diri sebagai mukmin yang sejati.

Untuk mencapai misi menyediakan bakal haji ke arah haji yang mabrur, TH mengambil inisiatif dengan memberi kursus-kursus haji supaya jemaah haji lebih faham dan menghayati roh tentang ibadat haji.

Kursus ini dinamakan Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan Kursus Perdana Haji. TH juga menyediakan bahan-bahan penerbitan untuk rujukan jemaah haji serta program di media massa dan media cetak sebagai bimbingan tambahan.

Kesimpulannya, TH telah memainkan peranannya dengan begitu aktif sebagai satu organisasi yang memberi sumbangan kepada umat Islam Malaysia terutama dalam pengurusan haji.

TH turut menyokong dasar-dasar kerajaan membentuk modal insan yang amat berguna bukan sahaja mereka yang mengerjakan haji malahan Jemaah haji yang telah melalui madrasah haji akan membentuk Generasi Haji iaitu keluarga yang bahagia seterusnya membentuk negara yang sejahtera.

Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 13/9/2011.