Oleh
DR. AZAH ABDUL SAMAD
Semua
maklum bahawa perjalanan ke Mekah untuk mengerjakan haji adalah salah satu
perkara yang ditunggu oleh semua orang Islam. Ia merupakan kemuncak pengorbanan
seseorang hamba terhadap Allah, Maka sudah tentu mempunyai ganjaran dan hikmah
yang besar. Tetapi ganjaran itu pasti tidak mampu dicapai jika niat suci itu
terhalang oleh beberapa faktor terutama kesihatan.
Bakal-bakal
haji perlu memahami keadaan di Tanah Suci kerana berbeza dengan persekitaran di
negara kita. Hawanya berdebu dan kering berbanding dengan keadaan cuaca di
Malaysia yang lembap.
Perbezaan
paling ketara adalah perubahan cuaca yang sangat ekstrem antara malam dan
siang. Suhu waktu siang adalah lebih 30 darjah celsius dan pada waktu malam
serendah 18 darjah celsius.
Suhu
sejuk dan keadaan berdebu mendedahkan jemaah kepada jangkitan saluran
pernafasan. Sebab itu mereka dinasihat menyemak keadaan suhu di media massa
sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Pada
musim haji kali ini, ia dijangka bertembung dengan musim panas. Maka bakal
jemaah diingatkan jangan berjemur di tengah panas dan perlu minum banyak air
serta tidak berpakaian tebal di waktu siang.
Lagi
pula ibadah haji itu sendiri memerlukan kekuatan fizikal untuk melakukan saie,
tawaf dan melontar. Jemaah terpaksa berjalan beberapa kilometer untuk
menunaikan ibadah-ibadah tersebut selain perlu bermalam di Arafah, Mina dan
Mudzalifah dengan kelengkapan tempat tidur dan tandas yang paling asas. Pasa
masa sama mereka perlu berjalan untuk ibadah melontar empat hari
berturut-turut.
Jemaah
juga terpaksa berulang-alik ke masjid yang jaraknya dengan tempat penginapan
adalah antara 50 meter ke 700 meter. Ringkasnya jemaah haji memerlukan kekuatan
fizikal sama ada untuk menunaikan ibadah atau urusan peribadi ketika di Tanah
Suci.
Disebabkan
bilangan jemaah yang ramai, maka masa untuk melaksanakan sesuatu ibadah itu
lebih panjang. Jemaah yang ramai itu juga banyak masalah kesihatan disebabkan
virus atau bakteria yang dibawa oleh jemaah negara lain.
Kepentingan
Kesihatan
Lulus
pemeriksaan kesihatan dan mendapat akuan doktor merupakan salah satu dari
peraturan haji kerajaan Arab Saudi sebelum visa haji diluluskan.
Pemeriksaan
kesihatan yang sempurna bagi melakukan pengesanan awal dan memastikan jemaah
yang mengidap penyakit tertentu mendapat rawatan yang sepatutnya sebelum
berangkat ke Tanah Suci.
Pada
masa ini, semua bakal jemaah telah lulus pemeriksaan kesihatan. Semua perihal
kesihatan telah dicatit di dalam Buku Rekod Rawatan (BRR) yang dibekalkan oleh
Lembaga Tabung Haji (LTH).
Pastikan
buku rekod rawatan lengkap diisi oleh doktor dan segala tambahan atau perubahan
dos ubat-ubatan dicatatkan.
Ini
penting kerana hanya buku itu yang menjadi penghubung antara doktor di Malaysia
dan doktor yang bertugas di tanah suci.
Jika
buku itu tidak mempunyai maklumat lengkap maka doktor yang bertugas di Tanah
Suci akan menghadapi kesulitan dalam memberi rawatan terbaik.
Buku
rekod rawatan hendaklah sentiasa berada dalam beg galas jemaah dan sentiasa di
bawa bersama-sama di Tanah Suci.
Jemaah
dinasihat membawa bekalan ubat yang mencukupi sepanjang musim haji. Walaupun
rombongan perubatan TH turut membawa bekalan ubatan, mungkin ada ubat yang
tiada dalam senarai. Bagi bakal jemaah haji yang memerlukan ubat khas dari
doktor pakar swasta atau Institut Jantung Negara, ia hendaklah dibawa
secukupnya.
Vaksinasi
Vaksinasi
boleh membantu menyediakan ketahanan badan terhadap penyakit. Untuk bakal
jemaah, vaksinasi yang diwajibkan adalah vaksinasi meningococcal.
Ia
untuk ketahanan badan terhadap jangkitan selaput otak. Vaksinasi pilihan yang
digalakkan adalah untuk influenza dan pneumococcal untuk ketahanan badan
terhadap jangkitan paru-paru.
Vaksinasi
Wajib
Pada
musim haji 1987 (1407 Hijrah), musim haji 2000 dan 2001, wabak penyakit
meningitis berlaku di Tanah Suci. Berikutan itu, kerajaan Arab Saudi mewajibkan
vaksinasi meninggococcal (suntikan vaksin Quadrivalent meningokokus ACWY-135)
kepada semua jemaah sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Tanpa
suntikan itu, pihak Arab Saudi tidak membenarkan jemaah haji masuk ke Tanah
Suci. Vaksinasi ini akan beri perlindungan ketahanan imuniti selama dua hingga
tiga tahun.
Vaksinasi
Pilihan
Vaksinasi
juga boleh membantu menyediakan ketahanan terhadap kuman yang menyebabkan
radang paru-paru. Vaksinasi pilihan yang disyorkan adalah suntikan influenza
(selesema bermusim) dan suntikan pneumococcal.
Kedua-dua
suntikan itu adalah pilihan yang boleh didapati di klinik-klinik swasta. Ia
bagi memberi perlindungan imuniti untuk tempoh setahun.
Mereka
yang digalakkan mendapat vaksinasi pilihan adalah:
1.
Jemaah yang berumur 65 tahun ke atas.
2.
Pesakit yang mengidap penyakit kronik seperti sakit buah pinggang, diabetes dan
sakit paru-paru.
3. Pesakit
yang mempunyai ketahanan badan yang rendah.
Vaksinasi
yang diambil juga mesti dicatit dalam buku rekod rawatan kerana tanpa vaksinasi
wajib iaitu vaksinasi meningococcal, jemaah tidak dibenarkan masuk ke tanah
suci.
Penyakit
Sering Dihidapi
Oleh
kerana perubahan suasana, suhu dan aktiviti di Tanah Suci seperti hawa yang
panas dan berdebu, kesesakan tempat tinggal dan tempat ibadat dan keletihan
badan, maka jemaah sering menghidap penyakit ringan seperti:
1.
Batuk dan demam selsema. Pada kebiasaannya hampir 90 peratus dari jemaah haji
menghidap batuk. Mereka perlulah mendapat rehat yang cukup. Banyakkan minum
air, tiha ke empat liter sehari terutama selepas menggunakan tenaga berlebihan
dan penting bagi mereka mendapatkan rawatan awal dari klinik sebelum keadaan
bertambah teruk.
2.
Pecah-pecah kulit, tumit dan bibir (khususnya di Madinah). Cara mengatasinya adalah
dengan menyapu krim pelembap sejurus berada di Tanah Suci untuk mengelakkan
kulit dan bibir pecah. Keadaan cuaca yang kering menyebabkan kulit, bibir dan
tumit pecah. Kurangkan penggunaan sabun mandi untuk mengelakkan kekeringan
kulit dan jangan berjalan tanpa alas kaki. Lain-lain penyakit ringan adalah
sakit kerongkong, hidung berdarah, sembelit dan cirit-birit.
Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 28/9/2011.