Soalan 5

Menentukan Waktu Solat Atas Kapal Terbang

Soalan:

Saya pernah menaiki kapal terbang dari Malaysia ke Mesir yang memakan masa selama kira-kira 12 jam. Memandangkan saya bertolak sebelum Zuhur, bagaimana saya hendak menentukan waktu-waktu solat ketika di atas kapal terbang?

Jawapan:


Ramai penumpang menghadapi kesukaran menentukan waktu mula dan berakhirnya waktu-waktu solat fardu ketika di dalam penerbangan. Keadaan ini sangat ketara bagi penerbangan yang jauh. Arah penerbangan yang kadang kala selari dengan pusingan bumi dan gerak matahari dan kadang kala tidak, menyukarkan lagi keadaan ini. Ditambah lagi dengan arah penerbangan yang menuju ke arah Utara dan kemudian pula ke Selatan, menambahkah lagi kekeliruan ini. Namun kesulitan ini bukan lesen untuk penumpang meninggalkan solat.

Bagi musafir yang berada di atas kapal terbang, waktu solat-solat fardu boleh ditentukan dengan beberapa cara:

i. Pemerhatian pada keadaan di luar. Apabila tenggelamnya matahari di ufuk Barat, bererti waktu Maghrib sudah masuk. Setelah hilang cahaya merah di langit, menandakan waktu Magrib telah tamat dan bermula pula waktu Isyak. Waktu Subuh pula masuk apabila matahari mula terbit di ufuk Timur.

ii. Ijtihad dengan mendapatkan maklumat kedudukan kapal terbang. Waktu solat Zuhur dan Asar boleh ditentukan berdasarkan di atas negara mana anda berada. Maklumat ini mungkin boleh diperoleh daripada juruterbang dengan bantuan pramugari. Sesetengah syarikat penerbangan memaklumkan waktu setempat. Berdasarkan maklumat ini anda boleh melewatkan sedikit solat kerana waktu di udara lebih lambat daripada di darat. Lebih mudah jika anda dapat menjamakkan dua solat dalam satu waktu. Sama ada jamak takdim atau jamak ta’khir berdasarkan apa yang lebih mudah. Tetapi jika maklumat ini tidak diperoleh, anda boleh berijtihad dan solat anda sah dengan ijtihad tersebut. Melainan jika selepas solat anda mendapat maklumat bahawa waktunya belum masuk.

Sumber: mahmoodzuhdi.com