Kompleks Haji Alor Setar bakal siap menjelang 2013


ALOR SETAR 6 Okt. - Kompleks Haji Alor Setar bukan sahaja akan meningkatkan lagi perkhidmatan kepada para bakal jemaah, malah bakal menjadi bisnes strategik Lembaga Tabung Haji (TH) selepas pembinaanya siap sepenuhnya menjelang 2013.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kompleks bernilai RM86 juta itu terletak di lokasi sangat strategik iaitu lebih kurang satu kilometer (km) dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas dekat sini dan 10 km daripada bandar raya Alor Setar.

“Kompleks yang menyediakan kemudahan hotel bertaraf empat bintang dengan kadar bayaran tiga bintang ini akan dapat menjana pendapatan untuk Tabung Haji melalui sektor pelancongan dan hospitaliti.

“Kompleks ini akan menjadi persinggahan yang strategik dan perkhidmatan pengurusan jemaah haji di zon utara khususnya Kedah dan Perlis juga akan menjadi lebih teratur,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pecah tanah projek kompleks tersebut hari ini yang disempurnakan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Sumber: Utusan Malaysia. Khamis. 6/10/2011.