DYMM Agong Nasihat Jaga Imej Negara


ALOR SETAR 9 Sept. | Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menasihatkan jemaah haji Malaysia supaya menjaga nama baik negara sepanjang berada di Tanah Suci.

Seri Paduka bertitah, baginda tidak mahu jemaah haji Malaysia terpengaruh dengan pergolakan yang sedang berlaku di Asia Barat kerana tindakan seumpama itu boleh menjejaskan nama negara dan hubungan baik antara kerajaan Malaysia dengan Arab Saudi.

"Ikutilah segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi supaya segala urusan dapat dipermudahkan serta berjalan lancar," titah baginda semasa berangkat menyempurnakan Majlis Pelepasan Jemaah Haji 1434 Hijrah Wilayah Utara di Kompleks Haji dan TH Hotel di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji menerusi penerbangan terus julung kali dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini ke Madinah.

Sebanyak lima penerbangan berlepas terus dari Alor Setar ke Madinah pada musim haji kali ini melibatkan 1,400 jemaah menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) B777 bermula hari ini dan berakhir pada 13 September ini.

Berangkat sama Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah dan Ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah iaitu Tunku Temenggung Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah; Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Yang turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Fahad A. H. Al-Rashid.

Tuanku Abdul Halim turut menasihatkan bakal jemaah haji agar memberikan tumpuan sepenuhnya dalam mengerjakan ibadat tersebut dengan sempurna dan dikurniakan haji mabrur.

Titah baginda, para jemaah haji memerlukan pengorbanan tinggi dari segi mental, fizikal dan spiritual di samping penjagaan kesihatan dan kebersihan diri serta sekeliling yang baik.

Dalam pada itu, baginda mengucapkan tahniah kepada Tabung Haji dan agensi terlibat khususnya Kerajaan Kedah yang memberikan kerjasama untuk menjadikan penerbangan terus dari Alor Setar ke Madinah menjadi satu realiti.

Tuanku Abdul Halim juga mengucapkan syabas kepada Tabung Haji atas komitmennya untuk mengekalkan dan menambah baik kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji.

"Ini terbukti dengan penerbangan terus ke Tanah Suci dan terbinanya Kompleks Haji yang baharu untuk kemudahan para jemaah haji. Beta berharap Kompleks Haji dan TH Hotel yang beroperasi sepenuhnya pada musim haji tahun ini mampu memberikan lebih kemudahan, kelancaran dan keselesaan kepada bakal jemaah haji dalam urusan pelepasan," titah baginda.

Seri Paduka turut menyeru agar semua umat Islam Malaysia bersyukur kerana negara ini mempunyai sebuah organisasi seperti Tabung Haji yang menjadi salah satu ikon negara selain menjadi contoh kepada negara-negara Islam di seluruh dunia.

0 comments