Permasalahan Tawaf Wada’
Soalan: Tawaf Wada' memberi maksud tawaf selamat tinggal kepada kota Mekah setelah selesai pelaksanaan ibadah haji dan umrah ketika hendak pulang ke tanah air. Adakah tawaf wada' ibadah berasingan atau daripada manasik haji?
Jawapan: Imam Nawawi Rahimahullah berkata, ashab kami khilaf berkenaan tawaf wada' daripada jumlah manasik haji atau ibadat yang tersendiri:
Pertama: Imam Haramain berkata: "Dia termasuk daripada manasik haji dan tidak bagi selain haji tawaf wada' apabila keluar dari Mekah. Ini juga pendapat Imam al-Ghazali. Ini juga pendapat Mazhab Hanbali."
Kedua: Al-Baghawi, Abu Said al-Mutawalli dan selainnya berkata: "Tidak termasuk manasik tetapi diperintah dengannya bagi sesiapa yang ingin meninggalkan Mekah lebih daripada jarak qasar solat, sama ada dia penduduk Mekah atau selainnya. Ini bertujuan untuk membesar dan memuliakan Kaabah dan tanah haram Mekah."
Imam al-Qasim al-Rafie berkata: "Pendapat kedua lebih asah kerana membesarkan lagi Tanah Haram Mekah dan sebagai penghormatan keluar dengan wada' dan masuknya dengan ihram."
"Ini kerana mereka sepakat bahawa sesiapa yang melakukan haji, hendak bermukim di Mekah, tiada baginya tawaf wada'. Jika dia termasuk dalam manasik sudah tentu semua mesti dilakukan.
"Aku berpendapat, daripada apa yang didalilkan daripada sunnah, keadaannya bukan manasik apa yang thabit dalam hadis Sahih Muslim dan lainnya, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Yang berhijrah bermuqim di Mekah selepas qada manasiknya tiga malam sahaja."
Wajah pendalilannya tawaf wada' ketika keluar dan dinamakannya sebelum itu sebagai yang menunaikan manasik haji. Hakikatnya, dia boleh qada keseluruhannya.
Amalan Pada Masa Kini
Setelah memahami yang tawaf wada' adalah wajib haji mengikut jumhur ulama, saya cuba mengamati pula amalan yang dilakukan oleh penduduk dan umat Islam daripada pelbagai negara. Kesimpulannya, hampir kebanyakan mereka melaksanakan tawaf wada' sekalipun dari negara yang bermazhab Maliki seperti sebahagian daripada negara-negara Afrika.
Justeru, dinyatakan bahawa tawaf wada' amat penting dilakukan oleh umat Islam dengan hujahan dan juga pendapat fatwa ulama.
Kepelbagaian Hukum
Saya mengemukakan sejumlah pendapat dan fatwa ulama berkaitan dengan isu tawaf wada' sebagai tambahan maklumat untuk di kongsi bersama dalam bertafaqquh (mendalami) berkenaan dengan masalah manasik haji. Antaranya:
1. Tidak dituntut bagi penduduk Mekah dan bagi yang mendiami di dalamnya atau yang ingin berada di Mekah sebagai mukim melakukan tawaf wada'.
2. Abu Yusof berpendapat sunat bagi penduduk Mekah yang melaksanakan haji atau umrah melakukan tawaf wada'.
3. Siapa yang meninggalkan tawaf wada' secara sengaja atau terlupa hendaklah kembali tawaf wada' jika belum melebihi miqat. Inilah pendapat ulama Syafieyah.
4. Mengikut Mazhab Hanbali, selama mana belum sampai had qasar, jika sudah melebihi had qasar maka tidak wajib kembali untuk melaksankan tawaf wada' tetapi dikenakan dam.
5. Kebanyakan fuqaha berpendapat wanita haid yang telah melaksanakan tawaf Ifadhah tidak diwajibkan tawaf wada'. Inilah kenyataan Ibnu al-Munzir. Walaupun begitu diriwayatkan bahawa Umar Ibnu al-Khattab, Ibnu Umar dan Zaid Ibnu Thabit menyuruh wanita haid tinggal di Kota Mekah sehingga selesai untuk menunaikan tawaf wada'.
6. Jika sekiranya perempuan haid atau nifas telah suci sebelum meninggalkan Mekah, wajib melakukan tawaf wada' kerana telah hilang keuzurannya. Inilah yang dinaskan dalam Mazhab Syafie.
7. Jika sekiranya perempuan haid atau nifas telah suci selepas jarak qasar, maka tidak perlu baginya pulang ke Mekah untuk tawaf wada' tanpa khilaf mengikut nas Imam Syafie.
8. Jika sekiranya perempuan haid atau nifas telah suci selepas meninggalkan Mekah dan sebelum jarak qasar, maka tidak juga wajib baginya untuk tawaf wada'. Inilah yang dinaskan oleh Mazhab Syafie.
9. Tawaf wada' hendaklah diselesaikan selepas semua urusan yang lain. Jika seseorang yang tawaf wada' menunggu untuk berangkat musafir sahaja maka diharuskannya tanpa dibolehkan selepas itu jemaah haji sibuk dengan urusan yang tiada kena mengena dengan musafir.
10. Pendapat yang asing oleh Abi Yakob al-Aiburadi bahawa sah tawaf wada' tanpa taharah tetapi diwajibkan dengan dam.
11. Sesiapa yang rumahnya di Tanah Haram Mekah maka tiada tawaf wada' baginya, sedangkan bagi sesiapa yang rumahnya keluar dari Tanah Haram dan berhampiran dengan Mekah maka zahir kalam al-Khiraqi bahawa dia tidak boleh keluar dari Mekah sehingga dia melaksanakan tawaf wada'. Inilah pendapat Abu Thaur.
Semoga kita dikurniakan kefahaman yang jelas berkenaan tawaf wada' seterusnya para jemaah haji mendapat haji yang mabrur.
0 comments