Fatwa | Pembelian Tanah Di TRX Patuhi Syariah

KUALA LUMPUR 9 Mei – Pembelian sebidang tanah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) dengan nilai RM188.5 juta oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) adalah menepati syarat-syarat pematuhan syariah.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin berkata, urusan pembelian hartanah untuk pembangunan itu adalah sah dan dijalankan tanpa membabitkan unsur-unsur gharar (meragukan).

Jelasnya yang juga Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, pembelian tanah itu bukan satu perkara luar biasa dan urusannya dijalankan dengan sangat telus serta mengikut kaedah-kaedah jual beli dalam Islam.

“Dalam menentukan harga barang, bukan pembeli yang menentukannya dan kita tidak mempunyai hak untuk mempertikaikan harga ditawarkan.

“Dalam urusan jual beli Islam, jika penjual meletakkan harga sedemikian dan pembeli bersetuju, ada barang dan ada bayaran, maka boleh berlaku (urusan) jual beli itu,” katanya dalam sidang akhbar tentang pembelian plot tanah seluas 0.63 hektar di TRX bernilai RM188.5 juta di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail serta Timbalan Pengarah Urusannya, Datuk Johan Abdullah.

Dalam transaksi pembelian tanah yang menjadi kontroversi itu, Abd. Shukor berkata, Tabung Haji mengikuti sepenuhnya pro­ses dan prosedur urusan jual beli mengikut cara-cara Islam.
“Dua tahun kita menunggu untuk membeli tanah di TRX, kita melihat proses-proses (pembangunan) tersebut. Kita (membuat keputusan) membelinya kerana ia akan beri faedah untuk Tabung Haji dan memberi untung kepada pendeposit.

“Kita menilai (urusan pembeliannya) sebagai seorang Islam. Saya lihat tempat itu sangat strategik,” ujarnya.

Tambah Abd. Shukor, pembelian itu dijalankan tanpa ada unsur-unsur penipuan dan ia juga dijalankan tanpa membabitkan pengaruh mana-mana pihak lain.

“Dalam (urusan) beli tanah itu, kita tidak ada hubungan dengan mana-mana pihak. Kita beli tanah atas nama Tabung Haji, membangunkannya dan itu hak milik kita,” tegasnya.

0 comments