Najib | Tindakan Tabung Haji Tepat

KOTA BELUD 10 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tindakan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menjual semula plot tanah seluas 0.624 hektar di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) adalah tepat.

Beliau berkata, proses penjualan pegangan ke atas projek komersial bernilai tinggi itu dilakukan bagi mengelak berlaku kontroversi yang berterusan dalam masyarakat, selain mengelak tanggapan salah pelbagai pihak.

Kata beliau, pembelian tanah yang dilakukan oleh Tabung Haji tersebut telah disalah anggap dan diputar-belit oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga memberi persepsi salah kepada rakyat.

“Agak malang apabila perjanjian projek yang mempunyai nilai ko­mersial tinggi ini telah dimanipulasi dan diputar-belit dalam kalangan masyarakat dengan menyatakan pembelian projek hartanah ini seolah-olah mahu menyelamatkan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

“Bagi mengelakkan perkara ini terus menjadi kontroversi berpanjangan dan tanggapan salah dalam masyarakat, Tabung Haji telah bertindak menjual pegangan tersebut kepada syarikat swasta,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pecah tanah tapak Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Belud di Kampung Pirasan dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Salleh Said.

Mengulas lanjut Najib berkata, isu TRX yang berlaku tanpa alasan munasabah telah menyebabkan rakyat menjadi keliru selain menimbulkan kontroversi yang boleh mencemarkan imej Tabung Haji itu sendiri.

Bagi menjernihkan keadaan itu kata beliau, Tabung Haji bertindak menjual pegangan ke atas plot tanah bernilai tinggi demi mengelak berlaku kontroversi berterusan, sekali gus menafikan wujud isu menyelamatkan 1MDB.

Namun begitu kata beliau, ada hikmah di sebalik perkara itu terjadi apabila Tabung Haji boleh mencatat keuntungan daripada penjualan plot tanah tersebut dalam masa singkat.

Jelas beliau, beberapa buah syarikat swasta telah bersetuju untuk membeli hartanah milik Tabung Haji tersebut.

Ditanya sama ada pegangan bumiputera di kawasan tersebut akan berkurangan, beliau berkata, terdapat beberapa kawasan sekitar TRX yang boleh dimiliki oleh syarikat bumiputera.

“Masih ada beberapa kawasan yang boleh dimiliki golongan bumiputera di TRX dan perkara ini boleh diusahakan oleh syarikat bumiputera,” jelas beliau.

Elak kontroversi berterusan dalam masyarakat

0 comments