Mengerjakan haji tanpa melalui pengurusan Lembaga Tabung Haji sememangnya tidak mustahil bagi jemaah haji Malaysia sekiranya mereka sanggup menghadapi risiko yang tinggi, kata pengerusi eksekutif sebuah agensi umrah dan haji.
Datuk Md Daud Che Ngah dari Andalusia Travel and Tours berkata, di samping perlu membayar pakej haji pada nilai biasa, iaitu sekurang-kurangnya sekitar RM10,000, mereka juga perlu bersedia sekiranya perancangan mengerjakan haji dibatalkan pada saat akhir.
"Ia tidak mustahil dan memang ada perkara seperti itu berlaku, tidak dinafikan. Tapi sangat berisiko tinggi. Setiap tahun berlaku perkara ini.
"Agensi di Malaysia yang tawarkan itu mungkin ada kaitan atau tawaran daripada pihak-pihak tertentu Arab Saudi, (tetapi) berjaya atau tidak berjaya, tidak tahu.
"Perkara ini (masalah sistem pengurusan) memang selalu berlaku pada saat akhir," kata pendakwah bebas, yang juga bekas pengurus besar Tabung Haji itu, kepada The Malaysian Insider.
"Kadang-kadang, pada saat akhir, baru dapat tahu kapal terbang cuma ada 2 minggu sebelum (mula musim haji).
"Barulah sibuk agensi-agensi ini menyatakan, yang mereka ada kuasa untuk bawa (jemaah pergi haji). Mungkin masa itu mereka sudah ada perjanjian dengan mana-mana pihak," katanya.
Daud berkata, mereka yang menunaikan haji secara persendirian perlu membayar sekurang-kurangnya RM35,000, kerana perbelanjaan pemprosesan visa sahaja memakan belanja kira-kira RM15,000.
"Harganya memang RM35,000 ke atas, tak boleh rendah, sebab belanja nak keluarkan visa sahaja hampir RM15,000.
"Belum lagi tiket kapal terbang, tempat tinggal, pengangkutan dan lain-lain. Tak boleh (dapat) RM11,000 atau RM12,000 (seperti di bawah Tabung Haji)," katanya.
Di bawah Tabung Haji, visa jemaah haji diproses badan itu sendiri selepas mengesahkan senarai nama mereka yang dipilih mengerjakan haji pada musim itu.
Beliau tidak menafikan mereka yang menggunakan perkhidmatan mengerjakan haji tanpa melalui Tabung Haji kebanyakannya daripada golongan kaya.
Namun menurutnya, bukan semua mereka dalam golongan berkemampuan kerana sebahagian daripadanya dikategorikan sebagai golongan yang kritikal untuk mengerjakan haji ekoran usia yang sudah lanjut.
"Ada sebahagian yang kritikal, nak pergi sangat, yang umurnya dah lanjut, keluarga suruh pergi juga. Kadang-kadang umur 65 tahun tidak terpilih lagi, jadi keluarga membiayainya.
"Satu lagi, golongan yang memang kerja dia nak pergi ke Mekah saja. Memang orang kaya. Jadi jalan lain tak ada, mereka tunggu peluang ini.
"Sebab itu kadang-kadang kita hairan macam mana orang macam ini boleh pergi," katanya sambil menerangkan kes sebegini dikategorikan sebagai "haji furada".
Beliau berkata, apabila jemaah haji furada tiba di Mekah, mereka dimasukkan dalam kumpulan jemaah haji antarabangsa dan bukannya bersama rakyat Malaysia kerana mereka tidak berdaftar dengan Tabung Haji.
Daud berkata, ramai di antara mereka tidak berjaya menunaikan haji setelah membuat pembayaran yang tinggi kepada agensi seperti itu atas sebab sama ada wujud penipuan atau masalah lain yang timbul.
"Banyak juga yang kita tengok, sebahagian daripadanya tersangkut di lapangan terbang, kapal terbang tidak ada, visa tak keluar, tapi dah bayar RM30,000 ke RM40,000.
"Ada banyak sangat, tapi mereka tak cakap sebab malu," katanya yang berpengalaman lebih 20 tahun mengendalikan kerja haji dan umrah.
Katanya, setiap tahun, sekitar 1,500 hingga 2,000 orang jemaah haji yang Berjaya mengerjakan haji melalui cara begini.
Beliau turut berkata, ada juga jemaah haji Malaysia mengerjakan haji melalui kuota jemaah negara lain seperti Singapura.
Bagaimanapun, selepas 2000, mereka sukar berbuat demikian kerana kedutaan Arab Saudi memperketatkan undang-undang terhadap jemaah haji.
Pada masa sama, kuota tersebut juga diperlukan oleh rakyat negara itu.
Walaupun terdapat agensi yang menawarkan pakej haji tanpa menunggu senarai giliran yang panjang, difahamkan bakal haji perlu membuat surat rayuan dan mereka akan mendapat jawapan untuk mengerjakan haji dalam tahun yang dipohon atau tahun yang seterusnya.
Namun, pemohon perlu berdaftar dengan Tabung Haji sekurang-kurangnya 5 tahun dan membuat pembayaran pakej haji itu sekurang-kurangnya RM21,000, termasuk untuk penerbangan, penginapan dan makan.
Hampir RM8,000 daripada bayaran RM21,000 itu dibayar kepada pihak Tabung Haji, selebihnya kepada agensi itu.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan, kuota jemaah haji Malaysia bagi musim haji bermula 16 Ogos tahun ini kekal 22,320 orang.
Katanya, pengekalan kuota yang dilaksanakan sejak 2013 itu diputuskan kerajaan Arab Saudi berikutan kerja perluasan dan pembangunan Masjidil Haram di Mekah yang masih berjalan. – 17 Mei, 2015.
Sumber: The Malaysian Insider
0 comments