Yayasan 1 Ummah Taja 44 Jemaah Pergi Umrah

Seramai 44 orang jemaah dari Parlimen Kuala Nerus menerima surat tawaran umrah Yayasan  1 Ummah, semalam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata program tersebut pertama kali diadakan dan parlimen Kuala Nerus dipilih sebagai peneraju.

“Yayasan 1 Ummah dinaungi oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sendiri dan amat beruntung kerana Kuala Nerus dipilih sebagai peneraju bagi program ini.

“Pemilihan dilakukan berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan antaranya prestasi kerja cemerlang oleh bakal jemaah ini,” katanya kepada Teganukita.

Beliau ditemui ketika merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Sempena Program Khas Umrah Yayasan 1 Ummah 1436H/2015M di TH Hotel & Convention Centre, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria, Penasihat Yayasan 1 Ummah, Dato’ Jailani Ngah dan Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Dato’ Basir Ismail.

Salah seorang penerima yang juga Kampung Pengerusi JKKK Seberang Tuan Chik Haji Tuan Azam Tuan Johan,61, berkata beliau amat bertuah kerana turut dipilih untuk menunaikan umrah ke Tanah Suci Mekah bersama 43 peserta yang lain.

“Terima kasih kepada Yayasan 1 Ummah kerana memberi peluang kepada saya untuk menunaikan umrah secara percuma pada kali ini.

“Walaupun program ini baru pertama kali dijalankan, saya amat bertuah kerana turut terpilih sebagai salah seorang jemaah,” katanya.

Bagi Pengerusi JKKK Kampung Pagar Ubi, Shahrul Nazri Harun, walaupun masih muda jika dibandingkan dengan peserta lain, beliau bersyukur kerana menjadi salah seorang jemaah yang bakal menunaikan umrah di bawah yayasan tersebut.

“Saya sendiri tidak menyangka terpilih sebagai salah seorang penerima untuk menunaikan umrah pada kali ini.

“Jika dibandingkan dengan penerima lain, prestasi yang ditunjukkan amat cemerlang terutamanya komitmen dalam kerja yang dilakukan mereka bersama penduduk setempat,” katanya.

Sumber: Teganukita

0 comments