Solat Ketika Haji


SOLAT fardu lima waktu merupakan rukun Islam dan tiang agama. Ibadat yang amat berharga ini telah difardukan oleh Allah SWT ketika Rasulullah SAW berada di Sidratul Muntaha dalam peristiwa Israk Mikraj. Di dunia, menunaikan solat adalah tanda orang yang beriman, manakala di akhirat ia merupakan amalan pertama yang dihitung semasa berada di padang Mahsyar.

Ibnu Hajar meriwayatkan: “Islam diketahui dengan solat. Sesiapa yang mengkhusyukkan hati untuknya serta memelihara waktu dan sunnahnya, maka dia mukmin yang sejati”. Ibnu Majah pula meriwayatkan: “Allah SWT berfirman: Telah Aku wajibkan ke atas umatmu (Muhammad) solat lima waktu dan Aku berjanji, sesiapa yang menjaganya (menunaikan) tepat pada waktunya, Aku masukkan dia ke syurga.

Ibadah solat wajib dilaksanakan pada waktunya dan sebagaimana yang dipelajari daripada solat Rasulullah SAW. (rujuk al-Nisa’: 73)

Justeru, solat hendaklah dilaksanakan oleh setiap individu mengikut kaifiatnya, sama ada dalam keadaan sihat atau sakit, aman atau darurat, bermukim atau bermusafir, di daratan mahupun lautan kecuali bagi mereka yang uzur syarie.

Dalam konteks sebagai jemaah haji, kadang kala mereka berdepan dengan kesukaran untuk menunaikan tanggungjawab ini. Khususnya ketika berada di dalam kenderaan dan semasa berada di al-Masya'ir iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Maka, amat penting mereka memahami dua kaifiyah solat iaitu hormat waktu dan jamak tamam berdasarkan pandangan mazhab Syafie, tanpa perlu bertaklid kepada mazhab yang lain. Yang penting, solat dilaksanakan kerana mengabaikannya adalah satu kerugian besar. (rujuk al-Ma’un: 4-5)

Solat Hormat Waktu

Solat hormat waktu bertujuan membesarkan Allah SWT di samping memberi ketenangan rohani kepada individu yang tidak dapat menunaikan solat fardu dengan sempurna segala syarat sah ibadah tersebut.

Antara situasi yang memungkinkan solat hormat waktu berlaku ialah Faqid al-Tahurayn iaitu ketiadaan air untuk berwuduk atau tidak dapat bertayamum kerana ketiadaan debu tanah. Atau ada air atau debu tanah, tetapi penggunaan kedua-duanya sebagai alat bersuci adalah terhalang kerana faktor keselamatan seperti ketika jemaah haji berada dalam kapal terbang.

Apabila terdapat najis pada badan, pakaian atau tempat solat sedangkan tiada air mutlak untuk menyucikannya. Pesakit yang masih sedar dan berakal, tetapi tiada sesiapa yang dapat menyucikannya daripada hadas dan najis.

Apabila berdepan dengan situasi begini sedangkan waktu solat fardu sudah masuk dan tiada harapan pula untuk bertaharah hingga luput waktunya, maka individu tersebut hendaklah menunaikan solat tersebut mengikut kesesuaiannya seperti berdiri, duduk atau berbaring, tanpa wuduk atau tayammum kerana menghormati waktu.

Solat hormat waktu hanya khusus untuk solat fardu di dalam waktunya, sama ada dilakukan secara tamam, qasar, atau jamak ta’khir. Apabila individu tersebut kemudiannya telah bersuci, dia hendaklah segera mengulangi solat tersebut jika masih dalam waktu solat (‘iadah), atau menggantikannya (qada) jika telah luput waktunya.

Jelasnya, dengan mendirikan solat hormat waktu maka terlepaslah individu tersebut daripada rasa bersalah dan kerugian meninggalkan solat fardu. (rujuk Hidayat al-Salik J.1/406-407; Sabil al-Muhtadin J.1/133; Matla' al-Badrain m.s.61/76)

Solat Jamak Tamam

Solat jamak tamam bererti menunaikan solat yang harus dihimpunkan dalam salah satu waktunya iaitu Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak, sambil mengekalkan bilangan asal rakaat solat-solat tersebut.

Sejarah Hajjatul Wada’ menyatakan bahawa Rasulullah SAW menunaikan solat secara jamak dan qasar ketika wuquf di Arafah dan mabit di Muzdalifah. Semasa di Mina pula baginda mengerjakan solat secara qasar pada setiap waktunya. Imam Shafie r.a. berpendapat, pelaksanaan tersebut adalah kerana Rasulullah SAW ketika itu seorang musafir.

Bersandarkan kepada pendapat tersebut, jemaah haji Malaysia tidak harus menunaikan solat secara qasar ketika berada di Masya’ir kerana ia merupakan rukhsah yang khusus buat musafir sedangkan mereka pada umumnya dikira sebagai orang yang bermukim. Adapun pelaksanaan solat secara jamak tamam pula, ulama Syafi’iyyah telah mengharuskannya, sama ada semasa bermusafir atau ketika bermukim sekiranya terdapat darurat atau keperluan mendesak.

Justeru, atas alasan al-Masyaqqah yakni kesulitan yang sering ditempuhi oleh jemaah haji ketika berada di Masya’ir, Tabung Haji menerusi resolusi yang telah di capai dalam Muzakarah Haji Kebangsaan Kali ke-22 (2006) telah bersetuju menerima pakai pandangan harus jamak tamam sama ada secara jamak taqdim atau jamak ta’khir dalam pelaksanaan solat fardu semasa jemaah haji berada di Masya’ir atas sebab al-masyaqqah yang dilihat mencapai tahap keperluan mendesak.

Oleh itu, pada hari wuquf, jemaah haji Malaysia menunaikan solat Zuhur dan Asar secara jamak taqdim dan tamam. Manakala solat Maghrib dan Isyak dilaksanakan secara taqdim di Arafah atau ta’khir di Muzdalifah bergantung kepada jadual perjalanan jemaah haji.

Di Mina, mereka digalakkan untuk mengerjakan solat secara jamak taqdim. Namun ia bergantung pada jadual melontar yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

* PUTERA SHITH AL-MADANI ialah Pensyarah Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam, Universiti Teknologi MARA, Malaysia / Pembimbing Ibadat Haji, TH Negeri Perak.

æ Utusan Malaysia. 07/09/2012.

0 comments